'Ummi...bestnya kalau rumah kita macam rumah Mak Long...luasnya...best ...lapang..lamannya luas,boleh tanam macam-macam pokok...'Luah Aina
'Ha..aa rumah kita ni tanahnya sikit je kat depan tu...'Tambah Hafizi
'Alhamdulillah..syukur kita punya rumah.Ada orang tak de rumah Na..tak kisahlah rumah tu besar ke kecil ke..yang penting orang-orang dalam rumah tu semuanya solat 5 waktu,patuh perintah Allah dan pandai jaga kebersihan rumah...Kalau macam tu rumah yang sempit pun jadi lapang.Sebab apa? sebab Allah limpahkan keberkatan dan rahmatNya pada seluruh penghuni rumah tu...' Balas Ummi
'Ummi pun suka tengok rumah Mak Long tu...Rumahnya dah lah luas, 7 orang anak lagi,tapi sentiasa bersih dan kemas.Macam ada sorang anak je...Tabik le kat Mak Long.Sebab tu Allah bagi ummi rumah macam ni je..ummi ni tak secekap dan sekuat Mak Long kamu tu nak bersihkan luar dan dalam rumah.' Tambah Ummi lagi.
Terbayang kat kepala ummi ni Mak Long tu asyik pegang batang penyapu dengan batang mop je.Dalam sehari entah berapa kali le agaknya dia menyapu dan mengemop lantai.Ummi cuma larat sekali je setiap hari nak mop lantai...hihi...betul kata Mak Long ummi ni malas nak mengemop...
'Mak Long tu bukan setakat kat rumah dia je,cuba tengok bila dia balik rumah opah,habis luar dalam dikerjakannya...keliling rumah dibersihkannya...longkang-longkangpun takut kena sental..hihi'Tambah ummi lagi.
'Ha...aa rajin betul Mak Long tu...bukan macam ummi' Tambah Hafizi
'Amboiii...kamu kenakan ummi ye...Tolonglah ummi kemas rumah...korang tau buat sepah je..'
Hafizi ni pengkritik hiasan dalaman ummi nombor satu
Ada saje ideanya...Tapi selalunya idea ummi gak yang menang.
Apapun anak-anakku...rumah yang kita ada ini mari sama-sama kita pelihara kesucian dan kebersihannya.
Yang pertama : Pastikan rumah ini bersih dari segala perkara yang mensyirikkan Allah.
Semua mesti pastikan keyakinan dan aqidahnya teguh pada Allah semata-mata tidak kepada benda atau makhluk lain.Sebab tu ummi pernah cakap kita gantung ayat Al-Quran kat ruang tamu ni bukan kerana dengan sebab ada frame ayat Al-Quran ni syaitan tak kacau kita atau tak jadi masuk rumah.Itu dah jadi syirik.Al-Quran itu juga makhluk anakku.Tapi tujuan ummi gantung ni supaya kamu bila tengok frame ni kamu boleh baca ayatnya dan hafal.Ingat kat Allah.Dapat pahala.
Dan lagi satu anak-anakku...Jangan sekali-kali percaya kepada cara-cara merawat yang meminta benda yang pelik-pelik,tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w.Sediakan duit RM 33.33 le,RM 55.55 ke..ayam putih ke,kain kuning ke,pakai tangkal sekalipun tasbih dengan harapan benda-benda itu dapat menjauhkan iblis atau menghalau syaitan daripada kita.
Sebenarnya anakku,perbuatan sebegitulah yang menyebabkan iblis dan syaitan semakin seronok untuk berkawan dan mendekati kita,malah badan kita ini akan jadi hotel five star untuknya.Kerana kita telah megharapkan pertolongan dari benda atau makhluk lain, bukan Allah satu-satunya.Itulah syirik anak-anakku,percaya kepada Allah dan dalam masa yang sama percaya juga pada benda-benda lain yang boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada kita.
Dan usah sekali-kali diguna alasan sebegini - ini ikhtiar kita je,cuba je, dah ada orang nak tolong,dari duduk diam...
Kalau kamu orang yang beriman anakku,maka pastikan caranya itu diredhai Allah bukan dimurkai Allah.Kerana anak-anakku, satu-satunya dosa yang Allah tidak akan ampunkan selagi tidak bertaubat adalah dosa syirik.
Sebaliknya anak-anakku dekatkan dirimu dengan Allah bila diuji dengan apa-apa penyakit sekalipun penyakit fizikal atau misteri.Baliklah kepada al-Quran kerana di dalamnya terdapat penyembuhan kepada segala penyakit.Bangunlah bertahajud di tengah malam sunyi kerana Rasulullah pernah bersabda solat tahajud itu menjauhkan diri dari penyakit.Pahala dapat,kesembuhan pun dapat dengan izin Allah.
Dan yakinlah Allah satu-satunya yang berkuasa menyembuhkan penyakit.Ubat atau doktor itu adalah ikhtiar kita, selebihnya DIA juga yang berkuasa menyembuhkan atau mematikan kita dengan penyakit itu.Sekurang-kurangnya sekalipun jika akhirnya kita mati dalam keadaan kita telah berusaha berubat dengan cara yang sah,kita tidak mati dalam kemurkaan Allah.Redha Allah itulah yang kita cari untuk kehidupan kita pada kali yang kedua selepas dibangkitkan nanti.Kita tidak akan pernah rugi bila kembali kepada Allah dalam apa jua perkara.Yakinlah itu anakku.
Yang kedua :Pastikan dalam rumah ini tiada yang sombong dengan Allah.Tak nak sujud kepada Allah.
Dengan kata lain.WAJIB SOLAT 5 waktu.Ya anak-anakku..rumah yang penghuni di dalamnya tidak solat,maka Rasulullah samakan air hujan yang menimpa rumah itu lalu di tadah samalah ia seperti air kencing anjing hitam.
Ma sya Allah...betapa hinanya orang yang tidak solat.Enggan sujud itu anak-anak ...samalah juga nantinya kita seperti iblis yang sombong dan takbur,enggan sujud pada perintah Allah.Kita bukan iblis anak-anak,kita ini Allah telah angkat darjatnya sebagai sebaik-baik makhluk,maka peliharalah kemuliaan kita itu dan jangan campakkan diri kita ke dalam penghinaan Allah dan seluruh makhluk di langit dan di bumi kerana tidak solat.
Yang ketiga : Pastikan rumah ini sering berkumandang dengan ayat-ayat suci Al-Quran
Setiap orang mesti baca Al-Quran.Rasulullah s.a.w mengumpamakan rumah yang tidak didengar padanya ayat-ayat suci Al-Quran umpama kubur yang sunyi sepi.So,jangan jadikan rumah kita seperti kuburan ya anak-anak.Selepas solat Maghrib ummi wajibkan kalian baca paling kurangpun satu muka surat Al-Quran.
TV berjam kamu boleh tengok,mengadap games pun ber jam-jam,takkan kitab suci Al-Quran yang dah tentu pahalanya berganda itu kalau dibaca, kamu malas dan tidak sudi untuk membuka dan meneliti setiap maknanya!! Jadilah kamu nanti orang- orang yang rugi anak-anakku.Bacalah Al-Quran.Hidup ini pun tak lama.Entahkan esok...entahkan lusa giliran kita pula menyusul ke 'sana'.
Yang keempat : Pastikan rumah ini sentiasa bersih dan suci
Ya ...anak-anakku bersih saje tidak cukup.Tapi mesti suci dari segala najis,kerana ia amat berkait rapat dengan ibadah kita sama ada diterima atau tidak.Islam sangat mementingkan kesucian tempat tinggal,badan,pakaian,makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut kita.
Ummi teringat saat Aisyah terbuang air meleleh di atas lantai dari ruang tamu depan sampai ke bilik air.Kalau ikutkan malas,ambil je mop basahkan dan lap terus je air kencing yang meleleh tu dari lantai ruang tamu sampai ke bilik air.Dah beres..bersih,basuh mop... sangkut.Adakah ia suci anak-anakku?
Lap dulu air kencing tu,kemudian ambil air paip, jirus bekas tempat najis tadi,ambil pula kain lap bersih yang lain, lap kembali tempat tersebut dan ulanglah sehingga kita yakin tempat itu sudah bersih dan suci.Memang penat sikit lah.Tetapi anak-anak... ingat!! itulah harga yang kita kena bayar untuk mendapatkan keredhaan Allah dan kesenangan di akhirat nanti.Bila dah suci, nak sembahyang berjemaah di ruang tamu pun rasa senang hati dan tiada perasaan was-was lagi.Maklumlah rumah kita ni pun bukannya ada bilik khas untuk solat berjemaah.Semua orang mesti bertanggungjawab untuk pelihara kesuciannya.
Ummi selalu pesan pada puteri-puteri ummi, kunci kebersihan sesebuah rumah terletak pada si ibu.Sebab tu mulut ummi sentiasa mengingatkan anak-anak ummi esp. tuan-tuan puteri tu supaya tolong ummi mengemas rumah dan buat kerja-kerja rumah.Kalau tidak diajar dan dididik dari kecil,sampai besarlah nanti kalian malas mengemas rumah.Natijahnya bila kalian punya rumah sendiri maka tidak teruruslah rumah itu sebagaimana yang sepatutnya.Baju bersangkutan,pakaian bersih berlonggok di atas katil atau terperuk di dalam bakul,rumah tidak bersapu,bersepah sana sini,sinki dapurnya berlumut,mangkuk tandasnya menguning,berdaki di sana sini dan macam-macam lagi yang tak semenggah kelihatannya.Bahasa ummi ni....sori ye anak-anakku.So, jagalah kebersihan dan kesuciannya.
Banyak lagi sebenarnya yang ingin diutarakan di sini.In shaa Allah di lain entri ummi sambung lagi.Apapun anak-anakku Ummi sangat bersyukur kerana kita memiliki sebuah rumah untuk didiami bersama-sama di atas dunia ini.
Walau zahirnya kelihatan ummi cukup bahagia dengan apa yang ada,menghias dan mengindahkan rumah kita,namun ketahuilah anak-anakku ummi sangat bimbang bagaimanakah nanti 'rumah' kita di sana...di akhirat.Sempit atau luaskah ia...wangi atau busukkah nanti.Panas atau sejukkah 'rumah' kita.Nikmat atau sengsarakah nanti kita?Ya Allah...itulah yang sangat ummi takuti....
Bila mengenang itu semua anak-anakku,ia mematikan keinginan dan nafsu yang berlebihan untuk menghias rumah kita di dunia.Pada ummi cukuplah segala kelengkapan dan hiasan yang ada di rumah kita ini ummi aturkan khas buat suami dan anak-anak ummi tercinta,agar kalian tenang,senang hati,selesa sepanjang berada di rumah kita ini.Bila mata disajikan dengan keindahan dan kekemasan di dalam rumah maka ummi yakin hati kita menjadi tenang.Dan ketenangan itulah yang kita cari dalam usaha kita untuk mengabdikan diri kepada Allah sepanjang hidup ini.
Tenang dalam beribadah..In shaa Allah tenang dalam kehidupan.
Aina ni ada masa-masanya tak perlu disuruh.
Tapi kalau tengah tengok rancangan kegemarannya di TV jawabnya
asyik nanti je le....
Lantai dapur ni Aisyah yang suka mop
sampai gaduh gaduh ngan ummi ye berebut mop.
Suami dan Anak-anakku tercinta,
Rumah kita syurga kita bersama.Mari sama-sama kita pelihara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan