Isnin, 11 Februari 2013

Char Kuey Teow Makcik!!! Syukur ya Allah...

Allah s.w.t sangat tahu apa yang terdetik di hatimu…Mari kita panjatkan hasrat  yang baik-baik padaNya.

Suatu malam yang dingin,ummi mengajak Hafizi menemankan ummi ke kedai Photostat.Hajat dihati nak photostat soalan buat anak-anak didikku di esok harinya.Selesai sahaja urusan tersebut,ummi teringat abah dan anak-anak ummi di rumah.

Masih lapar lagikah mereka? Lewat petang tadi mi kari yang ummi sajikan sudah habis kesemuanya.Licin…lapar betul anak-anak ummi.Ummi berkira-kira di dalam hati,mungkin mereka masih lapar.Tentu seronok kalau ummi belikan mereka satay bagi mengalas perut yang mungkin masih berkeroncong.Kami menuju ke gerai satay.Saat menunggu pesanan, ummi toleh ke gerai sebelah…char kuey teow goreng….emmm…sedapnya …lagi lagi kalau banyak kerang…teringin rasanya nak menjamah.


Ummi melihat kepada tukang masaknya.Seorang budak remaja.Pembantunya pula sedang ligat membungkuskan pesanan pelanggan.Di belakang tukang masak itu,ummi lihat sekumpulan remaja yang lebih kurang sebaya dengan mereka sedang berborak sambil bergelak ketawa.Dan di tangan masing-masing terselit sebatang rokok yang masih membara.Kawan-kawan si tukang masak lagaknya…

Hasrat ummi untuk memesan sebungkus char kuey teow terbantut.Hafizi bertanyakan ummi. ‘Ummi tak jadi nak beli ke?’ Ummi angguk. ‘Tak pe,kita cari gerai lain…kalau boleh ummi nak mak cik yang masak.Pas tu makcik tu bertudung…rasa tenang dan selamat ummi nak makan.’

Ummi sedikit keberatan andai tukang masaknya anak-anak muda yang kalau dilihat dari segi gaya dan penampilannya kurang menjaga nilai-nilai agama.Kalau boleh,biarlah mereka itu tergolong dari kalangan yang menjaga solatnya.Hidangan yang dimasak dari air tangan orang yang menjaga solat sudah tentu lebih berkat dan dirahmati Allah.Namun untuk menyelidik sejauh itu bukan suatu yang mudah.Maka sebagai jalan yang agak selamat, ummi lebih gemar andai tukang masaknya seorang yang sudah bergelar mak cik atau pakcik.

Selepas membayar harga satay yang dipesan ,kami terus mencari gerai char kuey teow yang lain.Di seberang jalan kelihatan sebuah lagi gerai,ummi memperlahankan kereta dan memerhatikan si tukang masak.Ohhh…seorang anak muda juga yang pada pandangan zahir ummi…ummi masih kurang berkenan.Kami meneruskan pencarian hinggalah kami sampai pada sebuah gerai yang lain.Kelihatan 2 orang makcik sedang sibuk mengambil pesanan dan menyiapkan hidangan.Hati ummi berbunga gembira,lantas segera turun dari kereta.Hasrat ummi semakin tertunai.

Ummi terus menuju ke gerai tersebut.Sesampai sahaja di depan gerai,ummi sedikit terkedu bila melihat tukang masaknya juga seorang anak muda dengan rambut yang agak panjang.Alamak….namun dah terlanjur berdiri di depan gerai dan salah seorang makcik tadi sedang bertanyakan pesanan dari ummi,terasa tak sampai hati pula untuk berlalu pergi tanpa membeli apa-apa.Pasti nanti terasa hati kecil si makcik.Ummi terus memesan sebungkus char kuey teow goreng kerang.

Namun… nun jauh di sudut hati, ummi rasa berbelah bahagi.Ya Allah hasrat di hati aku inginkan air tangan dari seorang mak cik.

Ummi memerhatikan salah seorang daripada makcik tadi sedang menyiapkan lebih kurang 10 bungkus nasi goreng ayam.Agak lama juga ummi berdiri menunggu pesanan siap.Sabaaaar….Si tukang masak masih lagi menyiapkan nasi goreng untuk pelanggan yang lain.15 minit berlalu…ummi berkira-kira pesanan ummi sahaja lagi yang belum disiapkan.Mungkin lepas ni giliran pesanan ummi pula di masak oleh si anak muda.

Tiba-tiba si tukang masak bersuara… ‘Mak..mak gorengkanlah untuk kakak ni.Aku nak hantar nasi goreng tu kat kawan aku dulu.Nanti aku sambung balik…’Jelas sekali kedengaran suara si anak muda.

Subhanallah…..ummi tergamam seketika. Ya Allah…..sayu dan terharu rasa hati ini.Ya Allah …Engkau mendengar hasrat hati hambaMU ini.Ya Allah Kau kabulkan juga permintaan hambaMu ini.Ohhh……sebaknya….Alhamdulillah…terima kasih ya Allah….cepat sungguh air mata ini mengalir tanda syukur ummi pada NYA.

Si makcik tanpa berlengah terus memegang sudip dan memasak pesananku.Si anak muda terus mencapai bungkusan nasi goreng yang telah disiapkan oleh si ibu lantas memecut motosikalnya.

Lebih kurang 8 minit kemudian pesananku siap digoreng oleh makcik tadi. ‘Ni nak…RM 4 ye..’ Dengan rasa penuh kesyukuran ummi ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada mak cik tadi.

Saat ummi pusing untuk menuju ke kereta,si anak muda tadi telah kembali lantas terus memegang sudip semula untuk menyiapkan pesanan dari pelanggan yang lain pula.

Ummi berlalu ke kereta dengan sebungkus char kuey teow goreng hasil air tangan seorang makcik sebagaimana yang ummi inginkan.hati ummi sangat bahagia dan rasa syukur yang tidak terhingga ummi panjatkan pada Nya.Keimananku pada Mu makin utuh. …Keyakinanku pada Mu semakin bertambah.Peliharalah iman hambaMu ini ya Allah.

Malam itu Allah mengajar ummi agar sentiasa berdoa dan panjatkan hasrat yang baik-baik di dalam hati.Sungguh!!! Allah Maha Mendengar rintihan hati hambaNya,apatah lagi hasrat hati dan keinginan kita itu untuk menjaga agama kita…untuk dunia dan akhirat kita.

ALHAMDULILLAH…ALHAMDULILLAH…ALHAMDULILLAH…



Rabu, 6 Februari 2013

Allah mengajarku erti syukur

Teringat ummi pada satu kisah di waktu petang.Ia benar-benar mengajar ummi agar jadi hamba Allah yang benar-benar bersyukur di atas apa sahaja kurniaanNYA.Ucapkanlah Alhamdulillah...

Hobi Abah berkebun.Setiap petang usai kerja di pejabat,kalau awan cerah,hari tak hujan Abah mesti meluangkan masa lebih kurang sejam di kebun yang terletak di Parit 1.Maklumlah pokok-pokok sawit tu abah yang kerjakan sendiri.Dengan kudrat dan kekuatan yang Allah beri sedaya upaya abah usahakan walau dihambat kekangan masa dengan rutin kerja di pejabat dan kepenatan seharian di kantor.Ummi tabik kat abah.Alhamdulillah abah sihat....moga Allah berikan kesihatan yang baik pada abah yang kita sayangi.

Teringat ummi...tatkala pokok kuinin berbuah lebat,bila balik je dari kebun abah pasti membawa beberapa biji buah kuinin yang masak ranum.Baunya sungguh harum menusuk hidung.Namun Allah takdirkan setiap kali ummi kupas buah tersebut pasti ada tuan di dalamnya.Hampir keseluruhan buah tersebut bertuan...sampai ummi tak boleh nak rasa walau sehiris potongan sedang untuk dinikmati.Sebiji demi sebiji ummi kupas namun begitulah juga isinya.Ummi maklumkan abah hal tersebut dan dengan selambanya abah menjawab 'kupas je lah...mana tahu ada yang boleh dimakan...'Rupa-rupanya abah dah tahu keadaan sebenar isi di dalamnya.

Walaupun begitu,setiap petang abah pasti membawa juga balik ke rumah beberapa biji buah kuinin yang baru gugur.Ummi tetap setia mengupas sebiji demi sebiji,namun isinya masih begitu.Bukan rezeki kita.Esoknya abah tetap juga bawa balik.Begitulah yang berlaku beberapa kali petang,hinggalah ummi rasa sedikit bosan kerana ummi agak pasti isinya tak boleh dimakan.Ummi jugalah yang kena kupas dan buang.Dalam hati kecil ni rasa nak marah..kenapalah abah ni hari-hari bawak balik kuinin ni...padahal dia dah tahu dah isinya bertuan....

Sehinggalah di suatu petang..agaknya ummi dah malas nak kupas dan tengok isinya,sebab dalam hati ummi dah berkata...ni mesti busuk ni.Dengan rasa yang agak jengkel ummi berkata dengan suara yang agak kuat dari dapur,abah sedang mandi di bilik air."Bang..lain kali tak payah lah bawak balik kuinin ni.Busuk...bukannya boleh dimakan...penat je ummi kupas..."Terluah juga kata-kata yang sudah sekian lama terbuku di hati ini.Semacam rasa puas bila ummi ungkapkan kata-kata itu.Namun nun jauh di sudut  hati kecil ummi terdetik juga kata-kata ini ..kecik hati abah agaknya dengan ayat ummi tadi...Ummi pasang telinga...tak dengar apa-apapun butiran kata yang terkeluar dari mulut abah...marah kot...

Sepantas kilat ummi masukkan buah-buah kuinin tadi ke dalam plastik untuk ditongsampahkan.Kalau abah nampak,mesti abah marah.Namun rasa bersalah pulak dengan abah.Penat je abah bawak balik kuinin ni.Ummipun ambil pisau dan kupas je lah dulu.Kupas punya kupas sampailah saat untuk ummi hiris isinya.Hirisan pertama..Subhanallah!!! ummi takjub..cantik isinya tiada bertuan.Hirisan kedua begitu juga.Hirisan ketiga...hirisan keempat,kelima,keenam....ummi rasa terpukul...Oh!!Allah marah kat ummi agaknya  di atas niat ummi sebelumnya,maka Allah menunjukkan kekuasaanNYA pada ummi.Sebiji kuinin itu langsung tiada berulat.

Subhanallah!! Allah sedang mengajar ummi erti syukur.Syukurlah atas apa jua yang Allah kurniakan.Lagakmu tadi bagai kau tak sedar siapa pencipta buah itu.Rezeki kamu itu di atas ketentuanNYA.Redhalah untuk menerimanya sama ada buah itu baik atau tidak baik.Usah merungut...Terasa basah kelopak mata ummi.Syukur ya Allah.Segera ummi beristighfar...pohon ampunanNYA di atas keterlanjuran sikap dan niat ummi yang tidak baik sebentar tadi.Alhamdulillah...

Selesai sahaja abah mandi, segera ummi maklumkan pada abah hal itu walau ummi berasa sangat malu...'Bang...kali ni ummi terkejut..bila ummi kupas kuinin ni, tak busuk langsung...elok semua isinya...'

Abah hanya senyum.Senyum sinis mungkin,setelah tadinya ummi mengungkapkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Hal itu bukan sahaja terkena batang hidungku tapi menyentap tangkai hati dan imanku agar sedarlah segala rezeki itu DIA yang tentukan.Kita selaku hambaNYA BERSYUKURLAH...REDHALAH...

Sesungguhnya DIA Maha Pemurah.....

Alhamdulillah ya Allah di atas nikmatMU yang tidak terhitung buat kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rintihan kami...

"Tuhanku...aku tidak layak masuk syurgamu
tapi aku tak sanggup untuk menanggung seksa nerakamu
dari itu ya Allah kurniakanku taubat
Ampunkan dosaku...
sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.."

Duhai anak-anak...
Rasulullah s.a.w meninggalkan kepada kita dua perkara.Andai kita berpegang kepadanya selama-lamanya kita tidak akan sesat..iaitu
AL-QURAN dan AL-HADIS..

Justeru,marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi pencinta Al-Quran.Kalau buku pelajaran kita boleh baca..kalau surat khabar kita boleh menatapnya berjam-jam lamanya..tv kita boleh tonton semahu kita..inikan pula Al-Quran yang mana bila membacanya satu huruf dibalasNya dengan sepuluh kebajikan..masyaAllah amat besar ganjarannya...

Marilah kita tanamkan azam dan tekad di hati untuk membacanya walau setengah muka setiap malam...mudah-mudahan kelak kita mampu mengkhatamkannya paling kurang sekali dalam setahun dan menghayati isi kandungannya...

Ya Ilahi ...ya Rabbi...jadikan kami hamba-hambaMu yang cintakan kitab suciMu...Moga kami tergolong dalam golongan orang-orang yang Engkau kasihi..Amin...