Khamis, 29 November 2012

Kisah Sepasang Sandal Bujangku

Selesai  solat Isyak berjemaah dengan Aina di bilik,muncul anak terunaku Hafizi dengan wajah yang agak sedih.

'Nape pulak Fizi...sedih je muka tu...'Tanya Ummi

'Ummi...kita nak beli selipar dengan ummi...tapi Abah dah belikan kita selipar pulak..tapi kita tak suka...macam kelakar je rupanya...'

'Kelakar macam mana...bawak sini ummi tengok.'Tambahku

'Alaa...abah dah beli ikhlas je lah terima..pakai aje.' Sampuk Aina

'Kita tak suka..nanti kita bawak naik atas...' Sepantas kilat Hafizi turun ke bawah untuk menunjukkan kepada ummi selipar yang dibeli  abah.

'Macam mana le agaknya rupa selipar tu sampai Fizi tak suka...'getus hatiku.Anak teruna sorangku ni memang begitu.Kalau dia dah kata tak suka,tak sukalah sampai bila-bila.....hemm

Sampai saje di bilik dengan sepasang sandal di tangannya

'Haa...ni ha.....kelakarkan....'




''Ya Allah...apa le yang kelakarnya Hafizi...ok je..kenapa pulak? Jenama adidas lagi tu.Ada lambang Manchester United lagi.Fizi kan minat MU...ok sangat dah..."

"Tapi kita tak paernah pakai sandal yang bentuknya cam gini..macam sampan..."

Dalam hati ummi...'betul jugak katanya.Pattern cam gitu pattern sandal abah je..anak-anaknya tak pernah beli yang cam gitu...tu yang fizi tak boleh terima tu...'

'Kesian lah kat abah..buang duit je ...abah dah belikan tu pakai je lah....'kata Aina

'Betul tu fizi...Fizi sibuk kata selipar ni itu lah...inilah...semua tak kena,bersyukur abah dah belikan selipar untuk Fizi...bersyukur Fizi ada kaki...ada orang tu tak de kaki...Allah tak bagi dia kaki...Fizi ada kaki...Jadi jangan berkira sangat macam mana bentuk selipar ni...pakai aje..asalkan boleh disarung pada kaki...bertuah kita ada kaki...'

Terdiam seketika Fizi bila mendengar kata-kata ummi.Moga hatimu terbuka anakku untuk menyarung sandal itu nanti.

Dengan wajah yang agak kelat Hafizi lantas mengambil semula sandal itu dan berlalu keluar dari bilik ummi.

'

Selasa, 27 November 2012

'Kejutkan Aisyah Untuk Solat Subuh...'

Malam tadi sebelum tidur banyak kali Aisyah pesan pada ummi.Lastnya dalam keadaan ummi baru nak dibuai mimpi Aisyah datang lagi  dekat  dengan telinga ummi;

'Esok pagi kejut Aisyah ye ummi.Kalau kita tak bangun ummi sembahyang sunat dulu sampai 3 kali,lepas tu kejut kita lagi.Kita nak sembahyang subuh sama-sama...'

'Ok...ok..nanti ummi kejut ye.Dah pergi tidur lewat malam dah ni...'


Aisyah dah ready nak solat ni...

Subuhnya lebih kurang pukul 6.00 pagi...setelah kakak dan abang-abangmu siap berwuduk,ummi kejutkan Aisyah...Alhamdulillah sekali kejut je Aisyah terus bangun apatah lagi bila melihat ahli keluarga yang lain dah bersiap untuk solat subuh,cuma tunggu Aisyah je lagi.

Dalam keadaan terpisat-pisat Aisyah terus ke bilik air nak buang air dulu katanya,tak lama kemudian Aisyah keluar tapi mukanya tak basah...sejuk katanya.Ummi pujuk Aisyah supaya berwudhuk dengan elok.Aisyah enggan juga.Dalam hati ummi...'tak pe lah....sekurang-kurangnya Aisyah ada keinginan nak berjemaah sama-sama dengan kami semua.Pertama kali dalam sejarah hidupnya ni..Itupun ummi sudah sangat bersyukur...Alhamdulillah...'

Terus ummi pakaikan Aisyah telekong.Kami solat bersama-sama.Disebabkan Aisyah tak pernah solat subuh berjemaah ,selepas bangun dari rukuk dia terus nak sujud,terlupa ada bacaan doa qunut.Bila tengok orang di sekelilingnya masih berdiri dia pun bangun semula...'Tak pe anakku...kamu masih belajar.'

Usai solat subuh Aisyah  buka telekongnya, terus ummi ingatkan Aisyah, 'Tadi yang Aisyah terlupa tu bacaan doa qunut ye.' Dia angguk lantas melelapkan matanya semula.Apapun Alhamdulillah itu satu permulaan yang baik untuk Aisyah.Ummi sentiasa berdoa semoga esok kamu adalah lebih baik dari hari ini wahai puteriku.

Ya Allah rahmati keluarga kami dam keluarga para mukminin seluruhnya..

Ahad, 25 November 2012

Penghargaan Buat Kakakku Yang Dikasihi


Kakak sulungku ,Norhalimaton Saadiah Ayub
 bersama suami tercinta dan tujuh orang
permata-permata  hatinya setelah berjaya
menghabiskan pengajiannya di peringkat master

Teringat zaman persekolahanku dulu.Dalam diam kakakku inilah idolaku dalam dunia menuntut ilmu.Bermula dari sekolah rendah sampailah berjaya menjejakkan kaki  ke Universiti Malaya,bayangannya sentiasa ada di sekelilingku.Semangatku sentiasa membara untuk berjaya sepertinya bila setiap kali diumumkan keputusan  peperiksaan kecemerlangan sentiasa menjadi miliknya.

Bermula dari peperiksaan Penilaian Darjah 5 ,SRP dan SPM apatah lagi di peringkat universiti beliau pasti memperolehi A berderet untuk semua subjek yang diduduki .Seingatku  ketika di universiti beliau sangat aktif di peringkat kolej,terlibat dengan pelbagai program di kolejnya namun setiap kali exam dialah yang berjaya mendapat anugerah dekan hampir setiap tahun hingga akhirnya beliau berjaya mendapat ijazah kelas pertama.Berbangga sungguh kupunya kakak sepertimu.

Dan saat ini sekalipun kesibukanmu mengurus 7 orang permata-permata hatimu ditambah dengan bebanan tanggungjawab dan tugas sebagai guru di sekolah menengah,semangatmu untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi masih terus membara.Syabas kakakku...Semoga impianmu untuk menyambung pengajian di peringkat Phd berjaya nanti akhirnya.

Semangatmu itu nanti akan sentiasa menjadi pendorong kepada seluruh ahli keluarga kita yang lain untuk menimba ilmu,khususnya kepada permata-permata hati kita semua.

Semoga Allah menganugerahkan kepada kita semua kejayaan di dunia dan akhirat.Amiiiin...

Jumaat, 23 November 2012

Bagaimanakah Pengakhiran Hidup Kita?

Muhasabah dan renungan buat diriku khususnya dan semua yang masih diberi nyawa sebelum DIA mengambilnya semula…

 Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.Kematian bukanlah penamat pada segala-galanya.Kita dimandikan,dikapankan,disembahyangkan lalu dikebumikan dan jadilah kita seterusnya makanan ulat,cacing dan tanah.Tinggallah nantinya tengkorak dan tulang belulang yang tidak berharga.Adakah ia berhenti setakat itu?

 Tidak sama sekali.Hakikatnya kematian adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang lebih kekal.Ya ..alam barzakh adalah tempat persinggahan sementara menunggu datangnya detik kiamat lantas kita dibangkitkan semula dan kebangkitan kita itu tidak akan disertai lagi dengan kematian sebagaimana halnya hidup kita di atas dunia.

Bangkitnya kita nanti takkan mati mati lagi sampai bila-bila dan bermulalah perjalanan hidup kita yang panjang untuk kali kedua yang kekal selama-lamanya .Itulah detik yang sangat menggerunkan bagi hamba yang engkar dan berdosa tetapi detik yang sangat dinanti-nantikan bagi hambaNya yang beriman dan beramal soleh sepanjang hidupnya di atas dunia suatu ketika dulu.

 Justeru saudaraku,pilihan berada di atas tangan kita.Pilihlah pengakhiran hidup yang bagaimana kita inginkan.Yang bahagia atau derita.Insan yang waras pasti akan memilih untuk bahagia.Namun,memilih untuk bahagia tidak semudah menyebutnya kerana kebahagiaan yang kita inginkan di akhirat pasti akan diuji dengan rencam dugaan dan cabaran sepanjang hidup kita di atas dunia.Ombak dan badai pasti melanda menguji kekukuhan iman kita.Kuat atau goyahkah kita?

Mendengar perkhabaran tentang kematian dalam keadaan husnul khotimah,sesuatu yang sangat membahagiakan.Nyawanya diambil dalam keadaan insan itu sedang berjuang di jalan Allah,sujud kepada Allah di dalam rumahNya yang mulia… subhanallah!!Sedang menyampaikan kuliah agama,dalam keadaan sedang berpuasa,sedang membaca Al-Quran atau amalan soleh lainnya subhanallah…..sungguh beruntung insan-insan itu.Hidup mereka pasti diisi dengan perkara-perkara yang mulia,sebab itulah pengakhiran hidupnya sangat mulia.

Kita yang masih dipinjamkan nyawa ini mesti mengambil pengajaran darinya.Masih bernyawa bererti kita masih punya peluang untuk menambah amal. Muhasabah diri…

‘Semalam aku solat sambil lewa je..aku tak fahampun makna Al-Fatihah dan doa yang aku baca.Hari ni aku mesti perhati dan faham maksudnya.Aku mesti perbaiki kualiti solatku.'

 ‘Hari-hari aku baca surat khabar.Mengadap facebook berjam-jam lamanya.Layar internet sehari suntukpun aku tak kisah.Nak baca Quran malasnyalah….Dah lama dah aku tak baca Quran,hari ni dan seterusnya mesti setiap hari aku baca Quran.Kalau bukan 1 mukasurat pun,setengah muka pun jadilah.’

 ‘Aku jarang-jarang solat sunat.Solat 5 waktu je aku buat.Solat rawatib aku malas nak buat,solat sunat Dhuha boleh dikira dengan jari berapa kali aku buat.Bangun tengah malam untuk solat tahajud apatah lagi.Sepanjang aku hidup 35 tahun ni aku boleh bilang hanya dengan sebelah jari je berapa kali aku dah buat.Ya Allah 35 tahun aku hidup darab dengan 360 hari setahun.Rupa-rupanya aku dah tidur malam sebanyak 12600 kali aku tidur.Daripada jumlah tidur yang sebanyak itu,berapa malam yang aku bangun untuk bertahajud padaMU?? Allahuakbar!!Lekanya aku.Sedangkan Rasulullah yang KAU jamin masuk syurga itupun setiap malamnya setelah disyariatkan qiyamullail tidak pernah sekalipun baginda meninggalkannya sampailah hari wafat baginda.Aku ini siapa….Subhanallah….Aku mesti tambah solat sunatku.Solat fardu yang 5 waktu tu pun belum tentu Allah terima sepenuhnya.Aku mesti tampung kekurangan solat farduku dengan solat-solat sunat yang lainnya…’

‘Puasa sunat sangat jarang aku buat.Cuma 30 hari Ramadhan tu je…Dalam setahun aku tak pernah puasa sunatpun.Macam tulah aku tahun demi tahun.Hari ni 9 Muharram,esok 10 Muharram…ya Allah besarnya ganjaran yang KAU beri pada mereka yang berpuasa pada hari tersebut.Esok aku nak puasalah….’

 Suara hati yang seharusnya kita miliki….
Ya saudaraku…mari sama-sama kita tambah dan tingkatkan amalan kita.

Ya…sementara kita masih ada nyawa.Sementara kita masih diberi peluang olehNya untuk hidup di atas dunia. Ya…selagi kita masih punya kekuatan dan tenaga,sihat ceria,belum diuji dengan sakit derita,ayuhlah kita berusaha menambah amal sebelum nyawa ini diambil semula,sebelum kematian datang menjemput kita.
 Ya Allah hidup dan matikan aku dalam iman….

Khamis, 22 November 2012

Wahai Pemuda !! Subuh Kamu Itu Di mana?

Seawal jam 5 pagi kedengaran azan berkumandang dari Masjid Makmuriah Sungai Besar.Sungguh hening,sayu menusuk hati.Di hati ini...ya Allah,kasihi Pak Bilal itu.Azannya memungkinkan aku terjaga dari lena.Seruannya mengingatkan aku pada Sang Pencipta.Allahuakbar!!Pasti Kau sediakan ganjaran besar untuk 'dia' di sana nanti.

Saat insan-insan masih lena dibuai mimpi indah 'dia' meredah kegelapan,mengumpul kekuatan,melawan nafsu tidur dan hasutan syaitan untuk menjejakkan kakinya ke lantai masjid itu.Subhanallah....'Dia' berdiri tegak lantas azan dilaungkan,namaMU diagungkan,gemanya memecah kesunyian.

Ada insan yang terjaga.Ada insan yang masih terus lena.Tidak terkesan dengan seruannya.Menyambung semula mimpi indah.'Tidurlah dulu awal lagi ni...pukul 6.30 nanti baru bangun le...'Seronok sungguh syaitan yang sentiasa berusaha untuk melalaikan manusia daripada mengingati tuhannya..tidurlah...tidurlah....malam masih panjang.

Bersyukur padaNYA andai di waktu itu kita juga diberikan kekuatan oleh Allah untuk turut serta dengan Pak Bilal di masjid.Bukan calang calang manusia yang dapat berjemaah subuh di masjid.Lihatlah di mana-mana masjid di serata negara,dari ceruk-ceruk kampung hinggalah ke bandar-bandar besar,jemaah subuhnya boleh dibilang dengan jari,hatta tiang masjid lebih banyak dari jumlah jemaahnya!! Wahai pemuda sukarnya untuk kau langkahkan kakimu itu.

Saya percaya ramai para isteri (muslimah) di luar sana yang rasa sungguh bertuah dan berbangga andai suaminya tergolong dari kalangan pencinta berjemaah di  masjid.Apatah lagi untuk SOLAT SUBUH !!berbahagialah dia kerana punya suami sebegitu.

Keyakinan si isteri pada suami sebagai IMAM untuk diri dan anak-anak pasti menjulang tinggi, menambah keyakinannya untuk terus mengharungi kehidupan bersama-sama di dunia ini hingga ke hujung nyawa.

Saya juga meyakini bahawa ramai para isteri yang berusaha untuk mengejutkan suaminya agar berjemaah subuh di masjid.Syukur...isteri-isteri ini diberi kekuatan  oleh Allah.Namun berapa ramai isteri yang memendam rasa, ingin bersuara rasa serba salah untuk menggesa si suami ke masjid berjemaah.Niatnya itu sungguh mulia,dan di situlah jihadnya bermula.Jihad untuk menanam rasa cinta pada suami dan anak-anak agar cintakan masjid dan solat berjemaah terutamanya solat subuh.

Usah berputus asa.Teruskan usahamu itu selagi kau masih bernyawa...selagi kau masih ada di sisi mereka demi kehidupan duniamu dan akhiratmu.Ya...hidup ini bukan untuk dunia ini sahaja.Abadinya di akhirat sana.

Untuk para suami....

Kalian nakhoda dalam pelayaran ini.Kalian ketua kemudi untuk memastikan perjalananmu dan seluruh ahli keluargamu berada pada laluan yang benar dan tepat hingga tiba ke hujung destinasinya.Sudah lumrah pelayaran,ombak dan badai pasti datang menerjah yang memungkinkan kemudimu itu tersasar  lantas menyimpang dari haluan.Justeru penuhi iman di dada.Buatlah apa sahaja cara yang boleh meningkatkan iman dan cintamu pada Ilahi.Usah biarkan ianya biasa biasa sahaja.Sama sahaja seperti semalam.Itu itu sahaja,tiada usaha untuk menambah amalan.Kerana tanggungjawabmu itu sebagai IMAM.Peliharalah imanmu, isterimu dan anak-anakmu.Kekuatan ummah itu bermula dari kesatuan hati dalam sesebuah keluarga dan kamu itulah perancangnya..

Berjemaahlah di masjid!! kerana kekuatan ummah dan kegerunan musuh Islam itu ada pada kehebatan solat subuh berjemaah di masjid.Semakin ramai jumlah jemaah subuh di masjid semakin gusar dan bimbangnya musuh-musuhmu itu.Kerana itu tanda ketinggian iman dan kekuatan jihad para muslimin.

Namun melihat pada suasana hari ini.Masjid di subuh hari semakin lesu.Bimbanglah pemudaku,kerana itu tanda dirimu semakin leka dengan keseronokan dunia... imanmu semakin menipis....kekuatan ummah semakin mengecil....

Lihatlah kepada insan ini,seorang lelaki tua, Abdullah Al Asiri, 77, adalah seorang yang lumpuh dari paras pinggang ke kaki sejak dia dilahirkan.Walaupun cacat, satu perkara yang tidak pernah beliau tinggalkan setiap hari ialah mengesot pergi dan balik dari rumah ke masjid untuk solat fardu 5 waktu berjemaah.Subhanallah!!

Bagaimana dengan dirimu wahai pemuda?Sihat,kuat,sempurna tubuh badan,tidak cacat,tidak buta,tidak pekak,cukup segala sifat,hidup senang,rezeki melimpah.Apakah lagi alasan ciptaanmu? Dengan segala kesempurnaanmu itu tidak tergerakkah hatimu untuk berjemaah di masjid?

Saksikan dengan mata hati  kegigihan beliau mengesot dari rumah untuk solat berjemaah di masjid sekalipun lumpuh:



 
Ayuh....makmurkan masjidmu....

Antara kelebihan solat subuh berjemaah di masjid:

dipetik dari sumber:

Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya:
 
"Rasulullah SAW telah bersabda: "Jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat disebalik solat Isyak dan Subuh yang didirikan secara berjemaah nescaya mereka akan (bertungkus lumus) mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak"
 
Imam Muslim juga ada meriwayatkan hadis yang bermaksud:

Daripada Abdul Rahman bin Abu Amrah RA, katanya: "Suatu malam Uthman bin 'Affan RA telah masuk ke dalam masjid selepas selesai didirikan solat Maghrib. Lantas dia pun duduk berseorangan. Lalu aku pun datang mendekatinya dan duduk disampingnya. Tiba-tiba dia berkata kepadaku: "Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bersolat Isyak secara berjemaah maka (ianya akan diberikan ganjaran) seperti solat sunat separuh malam dan sesiapa yang bersolat Subuh secara berjemaah nescaya (ianya akan diberikan ganjaran) seperti mendirikan solat sunat sepenuh malam"


Malaikat mengiringi orang yang mula-mula sampai ke masjid.

Di antara dalil yang menunjukkan betapa besarnya kelebihan datang ke masjid untuk melaksanakansolat subuh berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi 'Asim dan Imam Abu Nu'aim yang bermaksud:

Daripada Miitham RA, katnya: "Telah sampai kepadaku suatu hadis daripada Rasulullah yang berbunyi: "Sesungguhnya seorang Malaikat akan datang berpagi-pagi dengan bederanya ke masjid sambil menemani orang yang mula-mula sekali datang ke masjid pada pagi itu. Malaikat itu berterusan menemani orang tersebut dengan benderanya sehingga orang itu kembali kerumahnya. Sesampai di rumahnya Malaikat itu akan masuk ke dalam rumah orang tadi bersama-sama bendera yang dibawanya. (Begitulah juga) syaitan akan berpagi-pagi datang ke pasar dengan benderanya sambil menemani orang yang paling awal sampai ke pasar pada pagi itu. Syaitan berterusan menemaninya sehingga apabila orang tersebut sampai ke rumahnya maka syaitan akan turut masuk ke dalamnya bersama-sama dengan bendera yang dibawanya".

Cuba perhatikan betapa tinggi dan hebatnya kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang mula-mula sampai ke masjid untuk menunaikan solat Subuh Berjemaah!


Solat Subuh Berjemaah akan ditulis bersama solat golongan Abrar (Golongan yang suka melakukan kebajikan dan ibadah) dan bersama utusan Allah.

Hadis berikutnya akan menyedarkan kita lagi betapa perlunya sebagai seorang muslim bersungguh-sungguh mengambil berat dengan Solat Subuh berjemaah. Hadis yang menceritakan kelebihan seperti yang tercatat di atas ialah riwayat daripada Imam al-Thabrani yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW, sabdanya: "Sesiapa yang berwudhu' kemudian dia datang ke masjid, lantas bersolat sunat subuh dua rakaat, kemudia dia duduk menanti sehinggalah dia menunaikan solat subuh berjemaah, maka dituliskan baginya solat subuh pagi itu bersama solat golongan Abrar dan dianya juga ditulis termasuk dalam kalangan utusan Allah".


Solat Subuh Berjemaah berada dalam jaminan keamanan Allah SWT

Di antara dalil yang menunjukkan besarnya kelebihan solat Subuh Berjemaah ialah penegasan
Daripada Rasulullah SAW bahawa mereka yang menunaikan solat Subuh Berjemaah akan mendapat jaminan keamanan dan pemliharaan daripada Allah SWT. Hakikat ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani yang bermaksud:

Daripada Abu Bakrah RA katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah maka dia berada di dalam jaminan keamanan dan pemeliharaan Allah SWT. Sesungguhnya sesiapa yang memperlekeh dan mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka".Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini: "Yang dimaksudkan dia berada dalam jaminan Allah SWT ialah berada di dalam tanggungan dan pemilharaanNya di dunia dan juga akhirat.

Solat Subuh Berjemaah diberi pahala seperti mengerjakan Haji dan Umrah

Kelebihan seperti ini memang tidak terdapat pada solat-solat fardhu yang lain. Oleh kerana itulah bila kita datang solat waktu subuh, kita akan dapati tiang-tiang masjid lebih banyak daripada ahli jemaahnya. Rupa-rupanya makin besar pahala, makin sedikit bilangan ahli jemaahnya. Ini mungkin kerana syaitan bekerja keras bagi memastikan umat islam tidak datang untuk solat Subuh Berjemaah!

Imam al-Thabrani juga ada meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian setelah selesai solat dia terus duduk mengingati Allah sehingga terbit matahari. Kemudian dia menunaikan solat sunat dua rakaat maka dia akan kembali (ke rumahnya pagi itu dengan diberi ganjaran pahala) seperti pahala menunaikan Haji dan Umrah".


Pertemuan Malaikat Malam dan Malaikat Siang ketika Solat Subuh dan Asar

Pertemuan para Malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para Malaikat yang bertugas waktu siang memberi pengertian betapa besarnya kelebihan solat Subuh dan Asar berjemaah kerana mereka bukan semata-mata bertemu di saat itu, tetapi mereka akan menjadi saksi kepada sesiapa saja yang mendirikan solat sSubuh dan Asar secara berjemaah. Bukan itu saja, bahkan mereka akan memohon keampunan untuk mereka semua. Semuanya telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis sahih.

Dalil yang menunjukkan berlaku pertemuan di antara para Malaikat ini di waktu solat Subuh ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat yang dilakukan oleh sesiapa saja dari kalangan kamu secara bersendirian sebanyak 25 kali ganda dan sesungguhnya Malaikat malam dan Malaikat siang bertemu ketika solat Subuh". Kemudian Abu Hurairah berkata: " Justeru itu bacalah jika kamu kehendaki ayat al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya solat Subuh secara berjemaah itu akan disaksikan oleh para Malaikat".Dalil yang menunjukkan berlakunya pertemuan mereka ketika solat Subuh dan Asar ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Bersilih ganti datang kepada kamu Malaikat malam dan Malaikat siang lalu mereka bertemu ketika solat Subuh dan Asar. Kemudian ketika naik Malaikat malam ke langit, maka bertanyalah Allah SWT kepada mereka sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui segala tindak tanduk mereka: "Bagaimanakah keadaan hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?" Lalu para Malaikat pun menjawab: "Kami telah tinggalkan meraka dalam keadaan mereka bersolat dan ketika mula-mula mendatangi mereka, meraka juga sedang bersolat".Imam al-Nawawi berkata dalam mengulas hadis ini:

"Sesungguhnya pertemuan para Malaikat malam dan Malaikat siang ketika solat Subuh dan Asar adalah menandakan betapa Allah SWT Maha Lembut dan Maha Bertimbang Rasa dengan hambaNya yang mukmin. ianya juga merupakan suatu penghormatan dari Allah bagi mereka yang beristiqomah menunaikan solat fardhu berjemaah, kerana menjadikan pertemuan dan perpisahan para Malaikat pada waktu-waktu solat berjemaah iaitu ketika mereka sedang duduk berkumpul melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru itu, secara tidak langsung maka jadilah para Malaikat ini sebagai saksi kepada hambaNya yang mukmin di dalam melakukan ibadah solat Subuh dan Asar atau ibadat-ibadat yang lain di saat itu".



Adapun dalil yang menunjukkan para Malaikat memohon keampunan bagi mereka yang solat Subuh dan Asar berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud:

"Lalu para Malaikat menjawab:" Ketika kami datang menemui mereka, mereka sedang solat dan ketika kami meninggalkan mereka, mereka juga sedang solat. Oleh itu, berikanlah keampunan untuk mereka pada hari pembalasan kelak".Alangkah beruntungnya mereka yang para Malaikat mendoakan keampunan untuknya. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Jadikanlah kami sebahagian daripada mereka! amin..





Rabu, 21 November 2012

KENALI BRIGED ELIT AL-QASSAM PALESTIN




Dipetik dari sumber Dr. Zainur Rashid Zainuddin

 
Jika Britain mempunyai British Special Air Service(SAS), Amerika Syarikat dengan Navy Sealsnya dan Israel dengan Shayetet 13, Palestin turut berada di dalam kelas tersendiri dengan barisan tentera penggempurnya yang berani mati, Briged Izzuddin al-Qassam atau lebih dikenali sebagai al-Qassam; sebuah unit elit yang amat digeruni oleh rejim Zionis.

Al-Qassam, sebuah sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh pejuang Palestin seperti Syeikh Ahmed Yasin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan Syeikh Salah Shehada pada tahun 1984.
Nama al-Qassam diberi bersempena nama seorang pejuang ulama' yang syahid berdekatan Jenin pada tahun 1935, Syeikh Izzuddin al-Qassam.

Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri dokumentari telah dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan peluang sebegitu jarang sekali dibuka kepada rakyat Palestin; apatah lagi kepada orang luar.
Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh pemuda yang berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.
"Objektif utama penubuhan al-Qassam adalah untuk mempertahankan tanah suci Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya.

Apabila ditanya jumlah tentera al-Qassam pada masa ini, komander tersebut yang pada mulanya enggan menjawab memberitahu, bilangannya dalam lingkungan 25,000 orang.
SYARAT UTAMA KEANGGOTAAN SEBELUM DIPILIH
[1] Mesti menjaga solat 5 waktu secara berjemaah.

[2] Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

[3] Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
[4] Mengimani perjuangan pembebasan al-Aqsa dan Palestin.

[5] Berdisiplin dan mentaati amir.

[6] Mencintai dan bersedia untuk syahid.

Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di Gaza, bukan kerana serangan tentera Israel tetapi sebaliknya ia merupakan sesi latihan tentera al-Qassam yang dijalankan.

Briged ini juga terkenal dengan roket al-Qassam, roket artileri buatan sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga 2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan yang dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang memasuki Semenanjung Barat sebagai Qassam.

Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa anggota elit al-Qassam sebelum mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun penulis diberitahu rakaman gambar tidak dibenarkan sama sekali kerana ingin merahsiakan identiti setiap anggota mereka. Penulis sungguh terkejut apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya memiliki wajah yang berseri, muka bersih dan bersinar.
Jelas nampak keikhlasan pada raut wajah mereka untuk menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.
Keimanan para anggota Briged al-Qassam ini cukup tinggi sehinggakan ada di antara mereka menyatakan bahawa mereka tak perlukan apa-apa bantuan, cuma cukuplah sekadar minta didoakan. Bukan doakan mereka selamat tetapi doakan agar mereka cepat menemui syahid! Inilah kunci kekuatan dan rahsia sebenar kehebatan mereka yang amat digeruni oleh 700,000 ribu tentera Israel di sana!
Semoga Allah terus bantu dan hadirkan pertolongan buat pejuang Islam seperti mana yang Dia telah bantu dan beri pertolongan kepada umat-umat yang terdahulu dalam menentang golongan kuffar ini. Sesungguhnya tiadalah daya dan upaya kami melainkan dengan kekuasaan-Mu. Bantulah mereka....Ya Qahhar Ya Jabbar Ya Mutakabbir!

via Dr. Zainur Rashid Zainuddin

Wajah -wajah Anak Syurga Di Gaza

Kekejaman rejim Israel ke atas penduduk Gaza masih berterusan.
Doakan mereka dalam tahajjud kita. Janji Allah itu benar.
Islam pasti akan menang.
Allahuakbar!!Allahuakbar!! Allahuakbar!!





Gambar dari sumber :


Wahai permata hatiku...
Kalian tidur lena di sini,
beralaskan tilam yang empuk
di dalam kedinginan air-cond yang damai
dibuai mimpi indah

Lihat mereka anakku...
Buminya siang dan malam bermandi darah
tangisan,raungan,jeritan tidak diendah

Ayuh anakku...
Jangan kalian terleka dengan keseronokan dunia..
Saudara seagama kita sedang diseksa
Bangkitkan semangatmu untuk membela agama
penuhi dadamu dengan ilmu berguna
demi agama tercinta...


Isnin, 19 November 2012

Tahniah Kak Long !! Kami Bangga Denganmu...

Alhamdulillah setinggi rasa syukur kami panjatkan pada Allah di atas kejayaan anak buah sulungku dalam UPSR dan PSRA 2012.



NUR ATHIRAH SHAHIDAH BINTI MOHD FADZLI
UPSR = 5A
PSRA= 97%



Kak Long dan Atifah...



TAHNIAH ! TAHNIAH! TAHNIAH!

Kami sudah menjangka itulah keputusan cemerlang yang bakal Kak Long terima setelah melihat pada kesungguhan dan ketekunan Kak Long sepanjang bergelar pelajar Sekolah Rendah.Mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi...

Moga kejayaan Kak Long menjadi pendorong pada adik-adik yang lain juga pada sepupumu yang lain terutamanya Hakimi yang bakal menduduki UPSR dan PSRA  2013.(Sahut cabaran tu ye Hakimi)

Tahniah buat kakakku Along dan Bang Long.Sungguh benar janji Allah- kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Apabila kita didik anak-anak orang lain dengan bersungguh,maka Allah pasti akan memudahkan urusan kita dalam mengasuh dan membentuk kecemerlangan dalam diri permata-permata hati kita pula.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menganugerahkan kejayaan kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sabtu, 17 November 2012

Generasi Terakhir Umat Manusia

Ketika kiamat makin hampir,Nabi Isa a.s yang akan turun kembali ke bumi dan orang yang beriman merupakan umat Islam yang terakhir.Setelah Allah mengutus hembusan angin lembut yang menyebabkan mereka semua meninggal dunia,maka pupuslah generasi tauhid di muka bumi ini.Islam,Al-Quran dan akhlak mulia turut hilang bersama-sama pemergian mereka.Hanya orang kafir dan tidak beriman yang berbaki di muka bumi ini.Sebahagian daripada keadaan mereka adalah seperti berikut:


1-Tidak kenal Allah

Mereka tidak kenal Allah,bahkan tidak pernah menyebut namaNya dalam hidup.

Dari Anas r.a,maksud sabda Rasulullah s.a.w “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak ada lagi orang yang mengucapkan: ‘Allah,Allah.’(Riwayat Muslim)



2-Kaabah runtuh

Kali terakhir kota suci Mekah dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah adalah pada masa Nabi Isa a.s kembali ke bumi.Setelah mereka semua meninggal dunia,Kota Mekah sunyi tanpa pengunjung.Sepanjang puluhan tahun ,tiada sesiapapun yang datang untuk berziarah apatah lagi untuk beribadah.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w: ‘Tidak akan terjadi kiamat sehingga tidak ada seorang pun yang pergi menunaikan haji ke baitullah.’ (Riwayat Ibnu Hibban)

Keadaan bertambah parah apabila sekumpulan orang dari Habsyah(Ethiopia) datang ke Mekah lalu meruntuhkan kaabah.Mereka mencungkil satu persatu batu-batu binaan rumah Allah ini untuk mencari harta karun yang dipercayai tertimbun di bawahnya.



3-Kota Madinah tiada penghuni.

Madinah pada masa itu tidak lebih daripada sebuah kota ‘berhantu’.Tiada makhluk yang berada di sana melainkan haiwan buas dan burung liar.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w : ‘Seorang pengendera nanti akan melalui pinggir Kota Madinah dan dia berkata : ‘Tempat ini dahulunya dipenuhi ramai kaum mukminin.’(Riwayat Ahmad)



4– Seperti Keldai

Dek menjadi hamba nafsu,mereka bukan seperti manu sia,malah lebih buruk dari haiwan.Zina,homoseksual dan seks sumbang berlaku saban hari tidak kira masa dan tempat.

“Tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia berzina di tengah-tengah jalan seperti keldai.”(Riwayat Ibnu Hibban)

Apabila maksiat telah memenuhi seluruh pelosok dunia,Allah menjadi semakin murka kepada seluruh makhluk yang berada di muka bumi,maka pada waktu itulah kiamat berlaku.Moga Allah menjauhkan kita daripada kemurkaan dan azabNya.Amin....



Uwais Al-Qarni : Namamu Tersohor Di Langit Sana


Dia seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang,kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya.Hidup sezaman dengan Rasulullah tetapi mereka tidak pernah bersua muka kerana Uwais tinggal di Yaman.Kerap membaca al-Quran dan selalu menangis tatkala membacanya.Pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut.Satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakan sebagai selendang.


Siapalah dia di mata manusia.Tidak banyak yang mengenalinya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara yang mentertawa dan mempermainkannya.Ada yang menuduhnya sebagai pencuri.Manusia mengumpat dan mencelanya kerana kemiskinannya.Uwais telah lama yatim, tiada sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh.

 
Sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Jika ada wang lebih, Uwais gunakan bagi membantu jirannya yang juga hidup miskin sepertinya.Uwais al-Qarni peluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mengurangkan ibadahnya walau sedikit. Dia tetap berpuasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.

 
Ramai tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru pulang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengannya. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Apatah lagi ibunya sakit dan perlu dirawat.


Hari berganti hari, dan kerinduannya untuk bertemu Nabi tidak terbendung. Pada suatu hari Uwais meluahkan juga isi hatinya kepada ibunya dan memohon izin untuk menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.Si ibu dengan rasa terharu meredhai pemergian Uwais dan berpesan agar segera pulang.Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar menemani ibunya selama mana dia pergi.


Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang 400km dari Yaman.Medan yang begitu panas diharunginya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam mahupun padang pasir yang luas yang boleh menyesatkan. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.Namun setibanya Uwais al-Qarni di depan rumah Nabi, 'Aisyah R.A memaklumkan bahawa Nabi berada di medan perang.Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kepulangan Nabi S.A.W dari medan perang.Namun masih terngiang di telinga pesan ibunya agar cepat pulang ke Yaman.Atas ketaatan kepada ibunya, Dia akhirnya pulang dengan hati yang pilu setelah menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W


Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W terus menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Baginda menjelaskan bahawa Uwais adalah anak yang taat kepada ibunya.Walau tidak dikenali di dunia,namanya sangat terkenal di kalangan penghuni di langit sana .Mendengar perkataan baginda S.A.W, 'Aisyah R.A dan para sahabat terpegun.Menurut 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan pemuda itu telah segera pulang ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit.

 
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."



Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."


Setelah wafat Nabi S.A.W, suatu ketika khalifah Umar dan Ali K.W. teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni. Sejak itu, setiap kafilah yang datang dari Yaman, mereka selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni sehingga lah satu ketika akhirnya mereka dipertemukan,bilamana Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.Pada ketika itu ibunya telahpun wafat.Kesempatan itu diambil oleh Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka sebagaimana pesan Nabi S.A.W.Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,

 
"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripadamu".

Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, segera sahaja Uwais menolak dengan halus dan berkata,"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."


Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada ramai orang yang menunggu untuk mengkafankannya.Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada ramai orang yang menggali kuburnya hingga selesai.


Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya.Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang sewaktu hayatnya.Mereka saling bertanya-tanya;


"Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."

Mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahui siapa sebenarnya Uwais al-Qarni.

"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di kalangan penduduk bumi tetapi namanya sangat tersohor di langit sana."


Sebuah kisah untuk dihayati bersama.Pastikan kebaikan yang dilakukan bukan untuk mengejar nama, pangkat atau sanjungan manusia.Biar manusia tidak mengenalmu,namun keikhlasanmu membuat kebaikan memungkinkan dirimu tetap dipuji dan dimuliakan di kalangan penghuni di langit sana.Dan berbaktilah kepada ayah dan ibumu sementara mereka itu masih ada di sisi kita.





7 Golongan Yang Mulia Di Mahsyar

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu:

1~Imam (pemimpin) yang adil
 
2~ Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah

3~Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid

4~Dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah

5~Seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah"

6~Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya

7~Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

            Merenung dalam diri,adakah aku ini mampu tergolong dalam golongan di atas?Andai tidak,ini bermakna aku adalah salah seorang dari jutaan manusia yang akan menanggung azab sengsara dijemur di bawah terik mentari lalu tenggelam di dalam lautan peluh hanyir dan busuk di bumi mahsyar kelak.

                Bagaimana mungkin diriku yang malas solat,enggan puasa,berpakaian sendat ikut suka,melawan ayahbonda,melepak tak tentu hala,berkepit dengan pakwe makwe,menonton yg lucah-lucah  belaka,leka dengan hiburan dunia,Al-Quran memang aku dah lupa,jarang kusebut namaNYA,apatah lagi sujud padaNYA boleh diizinkan untuk bernaung di bawah arasyNYA?? Sudah Tentu jawapannya –Wahai manusia yang hina dirimu langsung tidak layak untuk berada di bawah  naunganNYA-

                Adakah dirimu rela diseksa?Andai jawapanmu tidak...ayuh mari kita ubah haluan.Kita  ibarat pemandu yang sedang memandu kereta kehidupan kita sendiri. ‘Stereng’ ditanganmu, ‘brek’ dan ‘pedal minyak’ di kakimu.Andai di depan sudah kau tahu ada gaung yang sangat dalam,waraskah untuk kau terus memecut lantas menjunam ke dalam.

Sepantas kilat, tekanlah ‘brek’ tukar haluan.Pohon taubat padaNYA.Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan nasib kita pada kehidupan kali kedua.Syurga atau nerakakah pilihanmu?

Mereka yang waras pasti akan berkata“Syurga pilihanku.Apa lagi yang kutunggu.Sementara nyawa masih ada padaku,aku sujud pohon ampunanMU.”
 

Dosa; Usah Dipandang Remeh Kerana Ia Amat Besar Di Sisi Allah Dan RasulNya

‘Kelihatan di atas pentas si dara yang bertudung , si teruna yang bertanjak begitu asyik mempersembahkan tariannya.Penonton bersorak gembira,tidak kira tua atau muda.Mereka sangat berbangga dengan kebolehan rakan-rakan mereka.’

                Muslimin dan muslimat yang dihormati,ayuh kita renungkan sebentar.Andai Rasulullah s.a.w  berada bersama dengan kita di waktu itu adakah baginda rasa cukup berbangga dengan kita?Adakah baginda bertepuk tangan dengan tarian yang dipersembahkan sebagaimana kita bertepuk tangan?

                Mari kita fikirkan…sudah pasti jawapannya sangat jelas~ TIDAK sama sekali~Itu bukan dari  ajaran baginda.Selama 23 tahun dakwah baginda,baginda telah berusaha sedaya upaya  mengangkat darjat wanita itu ke tahap yang sangat mulia.Dirimu wanita bukan untuk dipersembahkan,bukan untuk ditonton dan bukan untuk dinikmati oleh mata-mata yang tidak berhak sebagaimana kebiasaan masyarakat Arab jahiliah sebelumnya.Maka  sudah pasti baginda langsung tidak berbangga dengannya. Astaghfirullah…alangkah lalainya  kita.

                Secebis kisah yang mungkin dianggap remeh oleh sebahagian  daripada kita tetapi tidak di sisi Allah dan rasul-Nya.Persoalan dosa dan pahala mesti difikirkan bermula dari celik mata hingga kita terpejam semula di malam harinya.Kerana apa?Kerana Allah telah berjanji akan menghitung setiap perbuatan kita di dunia sama ada baik atau buruk walaupun sebesar zarah. Maka setiap tindakan kita pasti akan berkisar kepada 2 perkara ini –dosa atau pahala.

                 Justeru WAJIB untuk kita perhatikan apa yang dilihat,ditonton,didengar,disentuh,dibaca,dipakai,dibelanja,kerana  semuanya itu akan diperhati dan dicatat.Dan pencatatnya pula tidak pernah terleka atau terlena walau sesaat sebagaimana kita yang kerapnya terlalai dan ter ‘pandang  remeh’ pada banyak perkara.Dan di akhirat kelak catatan itu akan dipulangkan semula kepada tuan empunyanya  sama ada  sudi atau tidak sudi menerimanya.

                Dan bermulalah detik-detik yang menggerunkan kita semua.Perhitungan demi perhitungan yang sangat teliti di hadapan Allah Rabbul Jalil.Tidak terkecuali walau seorangpun.Akan dapat kita saksikan kelak,  si mukmin tersenyum puas dengan gunungan pahalanya dan  si fasik menggeletar dengan pikulan dosanya.

Ayuh kita renungkan sebentar.. sebahagian daripada kisah yang panjang di padang mahsyar daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abbas r.a ;………. Nabi Muhammad S.A.W menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?” Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad S.A.W!” Nabi Muhammad S.A.W bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!” Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis. Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Nabi Muhammad S.A.W?” Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”

                Allah  berfirman: “Wahai Jibril! katakanlah kepada kekasihku, Muhammad bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanku.” Jibril  kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah.” Nabi Muhammad S.A.W berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah.” Allah berfirman: “Hari ini, kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu

Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad S.A.W menyeru: “Tuhanku…Penguasaku Penghuluku…! Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!”


                Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru:  “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?” Neraka  berseru lagi :  “Wahai Tuhanku…Penguasaku dan Penghuluku!Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”

                Nabi Muhammad S.A.W lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda S.A.W sujud di hadapan Arsy Allah S.W.T dan sekali lagi, baginda S.A.W rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya. Para Nabi melihat keluh dan tangisan Muhammad S.A.W. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan oleh Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya……..

                Saudaraku..Lihatlah,betapa sayang dan cintanya Rasulullah kepada kita.Tepuk dada dan tanya  iman di hati, sejauh mana pula  kasih dan cinta kita kepada Rasulullah.Sejauh mana kita berawas dalam setiap perkara agar tidak terjerumus ke kancah dosa yang telah diberi amaran keras oleh Allah dan rasulNya.

                Dan tanyakan pula diri, adakah layak untuk aku mendapat syafaat Rasulullah  andai di dunia tidak ku hirau ajaran baginda.Solat yang kubuat selalunya sambil lewa,tak kutahupun maksud bacaannya.Mulut sering berbicara hal keaiban manusia.Duit kubelanja ikut suka sedangkan untuk bersedekah RM 10 sangat berkira.Al-Quran jarang-jarang kubaca namun ber ‘facebook’ boleh berjam-jam lamanya.Hiburan  di kaca TV sering jadi pilihan namun rancangan agama selalu dikesampingkan.Pakaian yang kubeli biar mengancam,agar aku digelar si jelitawan tetapi bukan yang labuh lagi merimaskan.Kuku kubela biar panjang,kening kucukur biar rupawan,makwe kukepit  penuh kebanggaan sekalipun Rasulullah tidak pernah  menghalalkan…Banggakah Rasulullah denganmu?

                Renung-renungkanlah, adakah perlakuan kita itu sudah cukup memenuhi piawaian Rasulullah agar kita dianugerahkan syafaat  baginda di akhirat kelak?Sudah tentu saudaraku,syafaat baginda hanya milik umatnya yang benar-benar mencintainya dengan mematuhi segala ajaran baginda S.A.W ketika di dunia.Moga kita tidak digolongkan dari kalangan yang digambarkan oleh Allah sebagaimana berikut;

Maksud Firman Allah  “Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata:Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia),kami akan mengerjakan amal soleh , sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.(Surah As-Sajadah:12)

                Lumrahnya kehidupan manusia, di saat dia merasakan dirinya hebat, kuat, dia merasakan dirinya tidak memerlukan Allah. Lalu dia sombong, bongkak dan takabbur kepada Allah. Dia lupa Allah. Dia merasa mulia dengan dosa dan maksiat  yang dihimpunkan . Dahinya mendongak ke atas, tidak mampu dan tidak mahu rapat ke bumi dan sujud kepada Sang Pemilik Alam Raya ini; Allah SWT. Dia lupa bahawa, satu saat nanti, dahi dan kepalanya yang sombong itu akan menunduk jua tatkala berada di Padang Mashyar. Akan menunduk jua hatinya kelak, dengan perasaan malu, takut, dan mengharap kepada Allah, lalu dia akan mengemis kepada Allah SWT agar diberikan peluang kembali pada dirinya untuk sujud dan beribadah kepada Allah dan dia berjanji tidak akan melakukan dosa demi dosa lagi. Dia akan merintih, merayu, mengemis, meraung dan terus meraung….

                Namun di saat itu adakah yang sudi mendengar rayuannya?Adakah yang simpati pada raungannya??Renungkan,ayuh kita ubah haluan.Dosa  usah kita remehkan.Taubat mesti kita usahakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rintihan kami...

"Tuhanku...aku tidak layak masuk syurgamu
tapi aku tak sanggup untuk menanggung seksa nerakamu
dari itu ya Allah kurniakanku taubat
Ampunkan dosaku...
sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.."

Duhai anak-anak...
Rasulullah s.a.w meninggalkan kepada kita dua perkara.Andai kita berpegang kepadanya selama-lamanya kita tidak akan sesat..iaitu
AL-QURAN dan AL-HADIS..

Justeru,marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi pencinta Al-Quran.Kalau buku pelajaran kita boleh baca..kalau surat khabar kita boleh menatapnya berjam-jam lamanya..tv kita boleh tonton semahu kita..inikan pula Al-Quran yang mana bila membacanya satu huruf dibalasNya dengan sepuluh kebajikan..masyaAllah amat besar ganjarannya...

Marilah kita tanamkan azam dan tekad di hati untuk membacanya walau setengah muka setiap malam...mudah-mudahan kelak kita mampu mengkhatamkannya paling kurang sekali dalam setahun dan menghayati isi kandungannya...

Ya Ilahi ...ya Rabbi...jadikan kami hamba-hambaMu yang cintakan kitab suciMu...Moga kami tergolong dalam golongan orang-orang yang Engkau kasihi..Amin...