Rabu, 31 Oktober 2012

Tundukkan Nafsumu..Redha Allah Matlamatmu!!

Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: Muliakanlah binatang korban kamu, kerana korban itu menjadi tunggangan kamu di atas titian sirat al-mustaqim kelak.

‘Para pendengar sekelian…Haiwan yang kita korbankan di dunia, kelak akan menjadi tunggangan untuk kita di akhirat kelak.’
‘Kalau untuk tunggangan di dunia kita nak yang hebat,dari jenama Proton,Toyota,Honda,Mazda dan pelbagai lagi,biar mahal sekalipun ansurannya kita dengan rela hati   membayarnya tanpa keluhan tanpa paksaan,kenapa tidak kita bayar harga yang begitu untuk tunggangan kita di akhirat kelak.’
Terngiang-ngiang  tazkirah ustaz  suatu hari,beberapa tahun yang lalu.Sungguh kata-kata itu telah memanah dan  menikam sanubariku.Merobek hatiku lantas air mata ini mengalir laju.Menyesal…sungguh sungguh menyesal kerana ibadah qurban telah kuabaikan pada tahun-tahun yang sebelumnya.Ampunkan aku ya Allah atas kelalaianku selama ini.…..Seolah-olah baru aku tersedar.Subhanallah!! Walhamdulillah !! Terima kasih ya Allah.
Saudara seagamaku sekelian,
Sungguh kata-kata itu telah membuatkan aku bertekad untuk menjadikan ibadah qurban sebagai  satu kewajipan untukku laksanakan  setiap tahun.Bayangkan saudaraku,Kalau setiap bulan kita boleh bayar ansuran kereta 7,8 ratus malah sampai RM 1500 sebulan, takkan qurban untuk  satu dari tujuh bahagian lembu yang harganya hanya lebih kurang RM 400 kita tak mampu nak buat.apatah lagi RM 400 itu hanya dibuat  setahun sekali sahaja. Tersangat mampu untuk kita melaksanakannya.Tiada alasan!!
Harta juga wang yang ada di tangan kita pada saat ini bukanlah harta kita.Apa yang kita beri itulah  sebenarnya harta kita.Ianya akan menjadi milik kita di akhirat kelak yang kekal abadi..Wang yang ada kini,kita beli pakaian  dan barangan berjenama,semuanya akan musnah.Kita beli makanan sedap dan lazat-lazat  yang akhirnya menjadi milik lubang najis.Kita beli banglo mewah,rumah besar,tanah berekar,kereta hebat semuanya  akan habis,akan musnah,akan kita tinggalkan.Takkan kita bawa secubitpun ke dalam lubang kubur.
 Mana satukah ‘harta’ kita yang sebenar?Mana satukah harta kita yang kekal?
Saudaraku,apa yang kita beri sewaktu di dunia itulah sebenarnya harta kita.Maka berilah,sumbanglah,bersedekahlah semampunya sewaktu kita hidup di dunia ini.Kerana yang kita beri itulah walaupun habis di tangan pada zahirnya tetapi sedarilah kamu sebenarnya sedang mengumpul harta yang kekal untuk akhiratmu!!Biarlah…biarlah habis yang ada di tanganmu,sekadar cukup untuk keperluan hidupmu di dunia,tidak bermewah,tidak berlebihan kerana hidupmu di dunia ini sebentar cuma,sekejap sahaja.Entah sebentar lagi kita dipanggil pergi meninggalkan dunia ini menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.Maka saudaraku, mari kita kumpul harta yang kekal.Memberilah….bersedekahlah…sumbangkanlah harta,masa juga tenagamu kerana meraih redha Allah s.w.t.semata-mata.
Sebab itu saudaraku,kita sangat digalakkan untuk melakukan ibadah qurban.Kerana kita memang mampu.Cumanya  kita sering tunduk pada nafsu.Kita kalah dengan hasutan syaitan yang menipu.Kita cipta pelbagai alasan palsu .Bulan ni banyak nak pakai duit le…nak bayar kereta lagi,rumah lagi ..tuisyen anak lagi..nak beli baju batik sutera,nak beli beg tangan baru,kasut cantik sikit,nak itu…nak ini…ishhh tak payah le qurban …sunat je pun…bukannya wajib…tak berdosapun kalau tak buat….tak payahlah….lain kali le..tahun depan le nanti…
Maka saudaraku,bersorak sorailah syaitan kerana berjaya melalaikan manusia daripada mengingati tuhannya,daripada mengutamakan tuhannya,daripada mendahulukan tuhannya dalam apa jua perkara…nafsu telah menang,syaitan laknatullah telah menang.Maka saudaraku,siapakah yang kalah?Allah kah yang kalah?
Sekali-kali Allah Rabbul Jalil tidak akan pernah kalah.DIA tetap Maha Kaya,DIA tetap yang Maha Berkuasa,DIA tetap pemilik segala-galanya dan manusia yang lalai itulah yang kalah.Manusia yang bernafsu besar itulah yang tewas,manusia yang ingkar itulah yang tersungkur,tersembam di atas dunia milik tuhannya lalu terhumban ke dalam neraka yang sengsara.Na’uzubillah…
Saudaraku,qurban kita itu  akan menjadi tunggangan untuk kita, ketika melalui titian sirat kelak.Tidak inginkah kita menaiki tunggangan yang hebat ketika meniti titian sirat kelak? sebagaimana hebatnya tunggangan kita  ketika di dunia ini.Kalau di dunia kita tak ingin berjalan kaki,tak ingin hanya menunggang basikal atau motosikal,tak ingin memandu kereta secilik kancil...semuanya nak yang hebat belaka agar dipandang gah oleh manusia kenapa kita tidak begitu untuk akhirat kita.Sedangkan dunia ini sementara dan akhirat itulah yang kekal...Atau kita hanya cukup sekadar  ingin mengesot,merangkak tanpa tunggangan...sampaikah kita hingga ke hujung titian?Selamatkah kita di sepanjang titian?Hebat dan  gagah sangatkah kita untuk menjejakkan kaki ke syurga impian?sedang bekalan amalan hanya seciput sahaja,hanya sambil lewa sahaja,hanya apa yang ada sahaja...cukuplah tu...................CUKUPKAH??
Kalau rasa sudah cukup,kalau rasa sudah hebat,kalau rasa dirimu sudah selamat, simpanlah hartamu itu ..biar menggunung..belanjakanlah wangmu itu pada kesukaanmu...biar puas...belilah barangan berjenama yang mahal...biar kau dipandang ada class..melanconglah sesuka hatimu...tempahlah hotel berbintang...biar kau dikata hebat...Carilah...carilah sanjungan dan pujian manusia semahumu sesuka hatimu...tetapi saudaraku, kamu kena ingat!kamu mesti ingat kamu akan MATI.

Ya MATI itulah pengakhiran hidup kita di dunia.Mati bukan setakat hanya menjadi tulang belulang dan tengkorak,tetapi sedarilah!! MATI itu adalah  permulaan kepada sebuah kehidupan yang kekal abadi.Kita akan dibangkitkan semula...dihidupkan semula... takkan mati lagi sampai bila-bila.Dan kita akan bertemu dengan pencipta kita,ditanya di atas setiap perbuatan kita,dihitung segala sen dan ringgit yang kita belanja.Berhadapan dengan DIA yang Maha Berkuasa.Pemilik segala-galanya.Penguasa segala urusan di langit dan di bumi.Tidak gerunkah kita...??

Saudaraku...syukur kita ini masih bernyawa..kita ini masih diberi masa.Hari sunat berqurban telahpun berlalu.Qurban hari ini sudah tidak diterima.Mari kita pasang niat untuk berqurban pada tahun hadapan.Entah hidupkah lagi kita entahkan tidak....Namun berniat sahajapun sudah diberi pahala.Moga Allah meredhai kita dan mengampunkan dosa-dosa di atas kelalaian kita.

Bala Allahkah Yang Engkau Tunggu? Bertaubatlah Sebelum Ajal Menjemputmu!!

Tanyalah mana-mana guru sekalipun khususnya guru agama.Siapa yang tidak merasa sedih bila teguran yang diberi walau berulang kali ,tidak diambil endah,langsung tidak dipeduli.Hari berganti minggu,minggu  berganti bulan hingga akhirnya ke penghujung tahun,perubahan yang diharapkan langsung tidak kelihatan.

Benarlah untuk membina peribadi mulia tidak semudah membina bangunan tinggi pencakar langit.Cukup tempohnya bangunan yang diimpi berdiri megah menjadi kebanggaan semua,tetapi tidak dalam membina jatidiri seorang manusia.Subhanallah!! ia menuntut pengorbanan masa,emosi,tenaga dan kesungguhan yang bukan sedikit.Malah memakan masa bertahun.

Pelbagai kaedah diguna,strategi usah dikata,program direncana dan sudahpun dilaksana namun adakalanya keadaan masih seperti sedia ada.Dalam keadaan begitu usah mengeluh wahai para pendidik di luar sana.

Bersyukur dan ucaplah Alhamdulillah,kerana  kita diberi kekuatan oleh Allah untuk BERUSAHA,hasilnya kita serahkan kepada DIA yang Maha Berkuasa.DIA satu-satunya yang berhak menyemai hidayah di dalam hati-hati mereka,anak-anak didik kita.

Keikhlasan kita dalam berusaha,berkorban masa dan tenaga ada ganjaran besar yang sedang menanti di sana.Syaratnya sahabatku… kita ikhlaskan hati dalam setiap perkara.Walau di dunia tidak nampak hasilnya,di akhirat sana pasti  kita akan tuai hasilnya.

Setelah peringatan demi peringatan berhikmah diberi,berita gembira telahpun kita khabarkan kepada mereka,cerita tentang syurga dan segala kenikmatannya bagi mereka yang patuh dan taat,berita duka dari neraka juga telah sampai ke cuping telinga mereka beserta segala azab siksa dan sengsaranya,maka apakah lagi usahamu?

Teruskan lagi usahamu itu wahai sahabatku,selagi kita  masih diberi nyawa.Selagi hayat masih dikandung badan.Selagi kita masih berada di sisi mereka.Kerana tugas pendakwah itu satu kewajipan selagi kita ini bergelar muslim.

Wahai anak-anak didik sekelian,

Apabila segala teguran telah diusaha oleh orang-orang di sekelilingmu,ayah,ibu,makcik,pakcik,abang,kakak,rakan-rakan juga gurumu dan sesiapa sahaja yang berada di sekitarmu namun tidak kau endah,maka berawaslah anakku dengan teguran Allah keran biasanya teguran DIA berupa susah dan derita.Itukah yang engkau tunggu?Itukah yang engkau mahu?Kerana DIA sekali-kali tidak akan redha dengan dosa dan maksiat yang kamu lakukan.Lambat laun kemurkaanNya akan terhambur jua dan pada waktu itu kamu dengan sendirinya telah memilih untuk derita.

Lihat lah di sekelilingmu.Ambillah  pengajaran dan contoh dari kisah umat-umat terdahulu.Kaum Nabi Lut yang ingkar,juga kaum Thamud,kaum A’ad.Firaun laknatullah dan kuncu-kuncunya,Raja Namrud yang bengis,Qarun yang tamakkan harta dan banyak lagi,semuanya dihancurkan oleh Allah sekelip mata kerana apa?kerana keengganan mereka untuk sujud dan patuh pada perintah Sang Pencipta, Allah Rabbul Jalil.Bahagiakan pengakhiran hidup mereka?

Itukah yang menjadi pilihanmu?Memilih untuk senang lenang di dunia,berseronok tak tentu hala.Adakah itu jaminanmu untuk berbahagia di syurga?Berbaloikah keseronokan di dunia yang sementara ini,sedangkan di akhirat kelak dirimu akan diazab selama-lamanya tanpa henti.Na’uzubillah…

Ingat anak-anak,kita hidup tak menongkat dunia.Satu hari nanti kita pasti MATI.Ingat itu.MATI,MATI,MATI anak-anak.Dan mati kita nanti bukan bertemu ayah ibu,abang,kakak,kawan-kawan tetapi kita bertemu DIA yang telah menghidupkan kita suatu waktu dahulu.Kembali kepada pencipta kita.Dan saat menggerunkan akan tiba.Kita akan ditanya;Apakah sudah dilaksana segala perintah dan suruhanNYA??Bayangkan andai kembalinya kita kepada DIA dengan hanya membawa bakul bekalan yang ringan atau kosong tiada apa-apa….Kemanakah akan dihumbannya kita?ke syurgakah????

Selasa, 30 Oktober 2012

Wanita Solehah Sebaik-baik Perhiasan Di Dunia

Mulakanlah bacaanmu itu dengan lafaz Bismillah.Ayuh! kita renungkan saudariku…

Saat tubuh segar bugar,
Dihiasi busana berkilauan,
Jejaka menatap, bergetar keimanan,
Walau gaya potongan menidakkan suruhan TUHAN,
Dek mengikut tema dan kesesuaian zaman,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Saat mata melihat,tidak buta,
Dipandang, memandang kecantikan ‘taman larangan’,
Putih gebu, hitam manis, melonjak keghairahan,
‘Si ikan ada didepan si kucing jantan’,
Peluang keemasan, jangan disiakan,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Saat telinga mendengar, tidak tuli,
Suara manja menggoncang iman,’ halwa’ pendengaran,
Berita sensasi, gossip terkini,
Alunan cinta nafsu, membuai keasyikan,
Sekadar berhibur penawar kepenatan,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Saat mulut berbicara, tidak bisu,
Patah kata umpat-umpatan,
Bicara kesat, membuak kemarahan,
Biar luahan sangat melukakan,
Asal diri puas menuturkan,
Tercapai hasrat, maksud dan tujuan,
Konon perbincangan berpaksi kebenaran,
Sedangkan semua itu hanya alasan!

Beringatlah wahai tubuh yang segar bugar,
Beringatlah mata yang tidak buta,
Beringatlah telinga yang tidak tuli,
Beringatlah mulut yang tidak bisu,
ALLAH SWT tidak pernah lalai menyaksikan,
Malaikat di kiri kanan setia mencatat amalan,
Bertaubatlah, pohon keampunan.

Jangan menunggu mata rapat terpejam,
Telinga pekak, tidak mampu mendengar,
Mulut terkatup rapat, tidak sepatah terluah,
Tubuh segar, kaku di pembaringan,
Ketika itu, tiada guna penyesalan,
Kelak 'alasan' makan tuan!

sumber: Ummuhusna blogspot

Khamis, 25 Oktober 2012

Wahai Ibu,Bahagiakan Anakmu Dengan Doa!!

'Ummi...kita dapat 75 English...' Itulah ayat pertama Hakimi sewaktu ummi mengambil Hakimi balik dari sekolah.

'Alhamdulillah....syukur...Tahniah ye!' Balas ummi

'alaa...tak dapat A.' ada nada kesal keluar dari mulutnya.

'Pada ummi itu dah cukup bagus.Banyak jugak peningkatannya dari 62 ke 75.Alhamdulillah...ummi sangat bersyukur...'Balas ummi lagi.Terasa ada genangan air di mata ummi.

Benar anakku.Sesungguhnya ummi melihat kesungguhanmu itu dalam  2 bulan kebelakangan ini.Hakimi berusaha untuk memperbaiki penulisan ayat dan karangan dalam English.Banyak jugak latihan yang Hakimi cuba buat.Dan bila ummi check ayat-ayat tersebut,nampak perbezaan yang ketara berbanding sewaktu Hakimi  di awal tahun dulu.Alhamdulillah..ummi juga telah membayangkan pasti pada kali ini keputusan English Hakimi akan lebih baik lagi.Ummi sangat yakin itu bila melihat pada peningkatan tersebut.



Ummi  juga masih ingat pada malam ujian dan peperiksaan English yang terdahulu Hakimi  menangis lantaran terlalu tension dan merasa tertekan.Keyakinanmu langsung hilang.Puas ummi memberikan kata-kata semangat dan perangsang.

'Ummi yakin Hakimi boleh!!!Cuma Hakimi perlukan masa.Teruskan usaha.Insya Allah lambat laun kejayaan akan menjadi milikmu jua....'

'Ummi dan abah juga berusaha.Ummi hantar Hakimi ke kelas tution BI cikgu Zalina.Ummi belikan banyak exercise book untuk Hakimi.Hakimi berusahalah...Cakap je apa yang Kimi nak ..ummi boleh belikan,asalkan boleh membantu penguasaan  Hakimi dalam BI.Dari pihak Ummi,Ummi akan terus doakan Hakimi.Bersungguhlah!!'

Dan ummi sangat sedar Hakimi.Usaha terbesar dari pihak ummi sebagai ibumu adalah doa dan solat Hajat untukmu.Ya...Doa seorang ibu.Munajat seorang ibu...Ummi mesti gandakan doa itu...Ummi sangat yakin Allah  akan mendengar rintihan hati seorang ibu buat anaknya...

Wahai para ibu sekelian..

Doa untuk kesejahteraan anak-anak suatu yang wajib dilakukan oleh seorang ibu.Dan saya sangat berkeyakinan bahawa  semua ibu-ibu di luar sana sentiasa panjatkan doa buat anak-anak tercinta.Perkara pertama yang kita pohon untuk mereka adalah perkara akhirat terlebih dahulu,kemudia kita susuli dengan perkara yang berkait dengan kesenangan mereka di dunia .Maka pohonlah para ibu sekelian;

'Ya Allah..Jadikan anak-anakku hambaMu yang sangat mencintaiMu,mencintai RasulMu,mencintai solat,mencintai bacaan Al-Quran,mencintai ilmu,  mencintai amal soleh dan kebajikan serta jauhkan mereka daripada dosa dan kemurkaanMu.'


'Ya Allah..selamatkan mereka daripada fitnah dunia,berikan mereka pendamping hidup yang soleh dan solehah,dijauhkan dari azab kubur,dipermudahkan urusan hisab dan mizan,ditetapkan kakinya ketika meniti titian siratMu dan ditempatkan mereka di kalangan orang-orang yang Engkau Kasihi.'


'Ya Allah...Anugerahkan rezeki yang mencukupi buat mereka,jadikan mereka orang yang bijak untuk agamaMu.Jadikan mereka para pejuang agamaMu.Lapangkan hati mereka,cerdaskan akal mereka,mudahkan kefahaman mereka,jadikan mereka orang yang bersungguh dalam menuntut ilmu dan anugerahkan kepada mereka kejayaan  di dunia dan akhiratMu.'

Sahabatku,para ibu sekelian...

Teruskan berdoa.Sesungguhnya doa kita yang ikhlas pasti didengar di kalangan para penghuni di langit sana.Apatah lagi andai doa itu kita panjatkan di waktu sepertiga akhir malam.Subhanallah......

Anakku...
Ucapkan syukur Alhamdulillah kepadaNya.Sesungguhnya DIA telah melihat usahamu itu.Sesungguhnya DIA Maha Mendengar rintihan hati-hati kita.Sesungguhnya DIA Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya yang beriman.

Anakku...saat kau menduduki kertas English peperiksaan akhir tahun tempohari, ibumu  ini tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar dimudahkan urusanmu.Ketika itu ummi bertugas sebagai pengawas PMR di SAM Sg. Haji Dorani.Ummi sebut namamu berkali-kali...ya Allah permudahkanlah anakku...
Ya...ummi sangat yakin... Allah Maha mendengar rintihan hati seorang ibu...dan lambat laun Allah akan kabulkan jua....Syukur Alhamdulillah

Anakku..
Pesanan yang sering ummi ulangi buatmu.Jadilah anak soleh.Cemerlang sahsiyah dan akademik.Sekalipun kamu bijak dalam pelajaran,sekalipun kamu berjaya memperolehi staraight A,Allah tidak akan pandang anakku sekiranya kamu mengabaikan solat.Ummi tidak akan pernah berasa bangga dengan kejayaanmu kalau kamu itu tidak menunaikan  solat 5 waktu.Hidup kita ini bukan untuk dunia anakku.Hidup kita ini untuk akhirat,kita akan kekal di sana selama-lamanya.Pilihlah kesenangan di mana yang kamu inginkan,tetapi pesanan ibumu ini pilihlah kesusahan di dunia kerana ia akan menjanjikan kesenangan buat kita di sana,kerada dunia ini bukan tempatnya untuk kita berehat.

Anakku..untuk Englishmu itu,teruskan usahamu.Ummi sangat berkeyakinan kamu pasti BOLEH!!Berusaha dan berdoalah.Allah sekali-kali tidak akan menzalimi orang-orang yang berusaha.Yakinlah itu... 

Rabu, 24 Oktober 2012

Doa-doa Nabi Ibrahim a.s. dalam Al-Quran

DOA 1
Mohon dianugerahkan kemuliaan oleh Allah s.w.t di hari Akhirat

رَبِّ هَبْ لى حُكْماً وَأَلْحِقْنى‏ بِالصَّالِحينَ * وَاجْعَلْ لى‏ لِسانَ صِدْقٍ فى‏ الآخِرينَ * وَاجْعَلْنى‏ مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعيمِ * وَاغْفِرْ لأَبى‏ إِنَّهُ كانَ مِنَ الضَّالّينَ * وَلا تُخْزِنى يَومَ يُبْعَثُونَ
“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang saleh, dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian, dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang memusakai surga yang penuh kenikmatan, dan ampunilah bapaku,kerana sesungguhnya ia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat, dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan.”Asy-Syu’ara’ [26]: 83 – 87

DOA 2
Memohon dijauhkan dari menjadi fitnah bagi orang kafir

رَبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلْنا وَإِلَيْكَ أَنَبْنا وَإِلَيْكَ المَصيرُ * رَبَّنا لا تَجْعَلْنا فِتْنَةً
لِلَّذينَ كَفَروُا وَاغْفِرْ لَنا رَبّنا إنَّكَ أَنْتَ الْعَزيزُ الْحَكيمُ
“Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Al-Mumtahanah [60]: 4 – 5.

DOA 3
Memohon dikurniakan zuriat yang soleh

رَبِّ هَبْ لى مِنَ الصَّالِحينَ

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.”Ash-Shaaffaat [37]: 100.

DOA 4
Memohon kekal dalam mendirikan solat

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ


Wahai Tuhanku,jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orng yang tetap mendirikan solat.Wahai Tuhan kami,kabulkanlah doaku.Wahai tuhan Kami ,berilah keampunan kepadaku dan dua ibu bapaku dan sekalian orang orang mukmin pada hari berlangsungnya hisab(nanti)”.(Surah Ibrahim :40-41)






Selasa, 23 Oktober 2012

myGovernment:Portal Rasmi Kerajaan Malaysia



 Untuk mengakses ke Portal Rasmi Kerajaan Malaysia -my Government anda boleh klik laman web di bawah:


Semakan Permohonan Program Matrikulasi KPM

Aplikasi Permohonan Melalui Internet(PMI)
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia




MAKLUMAN : Sila masukkan nombor kad pengenalan anda. Halaman ini adalah bertujuan untuk  semakan sama ada maklumat anda telah disimpan atau tidak.










E-PENYATA GAJI




Untuk melihat maklumat penyata gaji bulanan dan penyata gaji tahunan, sila klik pada perkataan 'E-PENYATA GAJI' di atas...
Langkah-langkah menggunakan sistem:

Klik pada perkataan 'E-PENYATA GAJI' di atas.

Kepada yang belum pernah mendaftar, anda perlu mendaftar dahulu dengan meng'klik' pada perkataan 'pertama kali mendaftar'
Lengkapkan segala butiran diri dan klik 'ok'

Bagi yang telah mendaftar, masukkan no kad pengenalan dan kata laluan pada ruangan yang disediakan dan tekan 'daftar masuk'

Tekan pada butang 'sendiri'. Kemudian anda boleh memilih tahun dan bulan yang dikehendaki. Tekan 'cari'. Setelah nama penyata gaji anda telah dipaparkan pada jadual, klik pada nama penyata gaji tersebut. Penyata gaji anda akan dipaparkan.

Contoh paparan:

Sabtu, 20 Oktober 2012

Tips menjelang peperiksaan


Para pelajar yang dikasihi sekelian,

Pilihlah untuk menjadi pelajar cemerlang.Lihatlah di sekelilingmu,di sana kamu boleh teladani sikap dan amalan pelajar cemerlang yang boleh kamu contohi.Suka untuk ustazah tekankan di sini kecemerlangan yang harus anak-anak miliki adalah kecemerlangan sahsiah diri dan kecemerlangan dalam akademik.Dengan kata lain cemerlang di dunia dan akhirat.

Tiada nilainya di sisi Allah andai kamu berjaya meraih straight ‘A’ dalam UPSR/PMR/SPM/STPM first class sekalipun di universiti tetapi kamu mengabaikan solat 5 waktu.Kamu dipuji melambung tinggi,disanjung dan disebut namamu oleh manusia di dunia ini kerana kejayaanmu itu tetapi namamu dihina dan dikeji oleh Allah dan seluruh penghuni di langit sana kerana kamu telah merobohkan tiang agamamu.MENGABAIKAN SOLAT 5 WAKTU.Ingat itu anak-anak…Pilihlah anakku, pujian siapa yang kamu inginkan?
Syabas dan tahniah ustazah ucapkan andai anda adalah pelajar cemerlang yang memelihara solat 5 waktu.Anda memang pelajar muslim yang hebat.

Di antara tips untuk cemerlang anakku,ustazah kongsikan di sini pengalaman ustazah sewaktu bergelar pelajar dahulu. Kejayaan ustazah adalah hasil didikan abah dan ummi tercinta,tidak lupa juga jasa seluruh guru-guru yang ustazah sanjung tinggi dari darjah 1 hinggalah ke tahun 4 Universiti Malaya.Terima kasih,syukran jazilan di atas didikan kalian.

Tips menjelang peperiksaan:

1-Pastikan segala tajuk telah diulangkaji.Elakkan dari tebuk tebuk atau pilih tajuk.Bila anak-anak telah menguasai semua tajuk,kamu akan masuk ke dalam dewan peperiksaan dengan keyakinan yang sangat tinggi,tidak cemas malah anak-anak akan berasa rileks dan tenang.Sebab itu jangan sekali –kali ‘study last minute’.Bersiap sedia dari awal tahun lagi.

2.Malam peperiksaan:

~Elakkan tidur lewat malam.Sebelum tidur tunaikan solat sunat taubat dan baca Al-Quran.Mohon pada Allah agar keesokan harinya diberi ketenangan dan kemudahan untuk menduduki peperiksaan.

~Bangun pagi setengah jam sebelum azan subuh berkumandang.Dengan itu kamu sempat untuk solat sunat tahajud dan solat hajat.Setelah selesai solat subuh bacalah surah Ar Rahman pula (Inilah pesan ayahanda yang ustazah amalkan setiap kali periksa).

~Kalau duduk di asrama minta pada ayah dan ibumu untuk menunaikan solat Hajat agar urusan kamu dipermudahkan nanti.Jangan lupa minta ampun dan maaf atas segala kesalahan kamu dan minta halalkan segala-galanya.

~Berikan jadual peperiksaan kepada ayah dan ibu.Pesan sungguh-sungguh pada mereka agar sentiasa mendoakanmu sepanjang kamu menduduki peperiksaan pada hari tersebut.Ummi ustazah selalu berpuasa sepanjang ustazah menduduki peperiksaan besar.Itulah yang ibu ustazah amalkan untuk semua anak-anaknya.Sesungguhnya doa seorang ibu itu sangat makbul apatah lagi dalam keadaan si ibu itu berpuasa.

~Sebelum masuk ke dewan peperiksaan banyakkan doa dan selawat.Bacalah surahAl-Insyirah(Alam Nasyrah).Masuk ke dalam dewan atau bilik peperiksaan dengan langkahan kaki kanan dan ucaplah Bismillah.

~Apabila duduk sahaja di atas kerusi,sebelum soalan dibuka bacalah doa dengan bersungguh-sungguh,minta pada Allah agar diberikan kefahaman yang baik,kekuatan untuk menulis dan membuat pilihan jawapan yang tepat.

~Jika terlupa isi-isi penting ketika sedang menjawab banyakkan selawat,minta bantuan Allah s.w.t.Akal kita ini anak-anak ….Allah yang punya.DIA yang cipta maka pohonlah kepada penciptanya itu agar menganugerahkan kepada kita akal yang cerdas,kuat ingatan dan diilhamkan jawapan yang bernas.

~Jawab dengan tekun.Usah peduli rakan –rakan di sekelilingmu.Manfaatkan setiap saat untuk meneliti jawapanmu sehinggalah ke titik yang terakhir sehingga kamu berasa sangat berpuas hati.

~Setelah selesai menjawab ucaplah syukur Alhamdulillah dan bertawakallah kepada Allah.

~Sepanjang menunggu keputusan pepriksaan,teruskan solat hajat mohon pada Allah agar pemeriksa kertas yang ditakdirkan memeriksa kertas kamu itu dilembutkan hatinya,dimurahkan hatinya untuk memberikan markah yang baik di atas setiap jawapan yang telah kamu berikan.Sesungguhnya anak-anak, pemeriksa kertas jawapan kamu itu adalah manusia yang hati dan jiwanya juga milik Allah.Mintalah kepada Allah agar mereka itu bersifat pemurah dan kasihan belas kepada setiap jawapan yang telah kamu berikan.

~Yakinlah anak-anak.Allah tidak akan sekali kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.Siapa yang telah berusaha bersungguh-sungguh pasti Allah akan memberikan balasan dan ganjarannya.Anda buat.anda dapat!!InsyaAllah

Ajarlah anakmu bersedekah



Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.Namun yang menerima usah sekali-kali menolak huluran yang memberi kelak di kata sombong atau menolak rezeki. Anggaplah itu rezeki dari Allah dan ucaplah syukur Alhamdulillah.

Sesungguhnya bersedekah ganjarannya sangat besar.Adakalanya kita menganggap sedekah hanyalah menghulurkan wang kepada orang yang susah dan memerlukan.Hakikatnya konsep bersedekah dalam Islam itu sangat luas sebagaimana yang disebutkan di dalam sabda Rasulullah s.a.w ;

“Tiap-tiap anggota daripada manusia sedekah ke atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Kamu berlaku adil antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, dan kamu menolong seseorang menaiki kenderaanya atau menolong mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah dan pada tiap-tiap langkah menuju solat itu sedekah,yang kamu membuang bahaya dari jalan juga merupakan sedekah”. (HR Bukhari & Muslim)

Dengan kata lain apa sahaja kebaikan yang kita lakukan di dunia ini sama ada  untuk diri sendiri atau orang lain dengan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meraih keredhaanNya adalah dinilai  sebagai sedekah di sisiNya.

Justeru para ibu yang dikasihi,dalam hal ini,mari kita menjadi contoh yang baik terhadap anak-anak.Antara yang  boleh kita lakukan ialah:

~  Setiap hari Jumaat sewaktu anak bersiap untuk ke masjid,ibu menghulurkan wang kepada anak untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid.Tidak kiralah berapa jumlahnya sekalipun RM 1,di samping itu jelaskan ganjaran bersedekah kepada anak walaupun RM 0.20 jika ikhlas ganjarannya sangat besar .Lakukan sedemikian setiap minggu,lama kelamaan anak itu sendiri dengan rela hati akan menyedekahkan sejumlah wang dari simpanannya  tanpa disuruh.

~Apabila berhajat untuk singgah di masjid,pesan kepada anak agar menyediakan wang masing-masing untuk menderma sekalipun hanya dengan duit syiling.Jika anak meminta wang daripada ibu untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid,usah berkira... dengan rela hati hulurkan kepada anak.Anak akan berasa sangat seronok apabila berjaya memasukkannya sendiri ke dalam tabung.Lepas tu siaplah ye...si anak pasti memintanya lagi....dan lagi.Sediakanlah duit syiling banyak-banyak.Dentingan bunyi duit tersebut sangat  menyeronokkan mereka.Itulah yang kita inginkan.Seronok dalam beramal.

~Ketika menghulurkan wang kepada ayah atau ibu pada setiap bulan,di hadapan kita,minta anak yang memberikannya kepada mereka dan jelaskan kenapa kita memberikan wang kepada ayah dan ibu kita .Secara tidak langsung ibu telah mengajar anak agar tidak lupa untuk menyumbang kepada ayah dan ibu apabila sudah bekerja nanti ketika mana si ayah dan ibu telah lanjut usia.Usah terlalu berkira untuk menyumbang kepada ayah dan ibu kita,kerana gaji yang kita dapat setiap bulan hampir RM 3/4/5 ribu itu sebenarnya adalah hasil usaha mereka yang telah mendidik dan menyekolahkan kita sehingga kita berjaya.Jangan lupa itu...Kalau mereka tidak menyekolahkan kita sudah pasti kita tidak mampu memiliki gaji yang sedemikian banyaknya.

~Berusahalah untuk menabung setiap bulan  sebagai persediaan untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun itu.Ikut kemampuan sekalipun hanya satu bahagian lembu.Dan jelaskan kepada anak faedah dan kebaikan ibadah korban yang Allah janjikan.Mari kita berazam melakukannya pada setiap tahun.Kalau  kerongsang berharga RM 150 kita boleh beli,berpasang -pasang  baju dengan harga RM 250 sepasang kita boleh miliki apatah lagi beg tangan,kasut dan barangan berjenama lainnya tanpa teragak-agak kita boleh membayar harganya di kaunter, kenapa tidak kita lakukan yang sedemikian itu juga dalam melaksanakan ibadah korban ,bersedekah dan sumbangan lainnya.Cuba kita bayangkan sahabatku para ibu,andai ada seorang hamba Allah yang memohon derma untuk mendirikan sekolah tahfiz,surau atau seumpamanya daripada kita,adakah sepantas kilat kita sanggup untuk memberikan sejumlah wang RM 150 kepada beliau pada masa itu juga sebagaimana halnya kita tanpa teragak-agak membayar harga yang sama untuk sebuah kerongsang yang begemerlapan?Fikirkanlah....Andai para ibu mampu melakukan yang sedemikian itu,kalian adalah hamba yang sangat mencintai  Allah yang mana dunia hanya di tanganmu,sedang  akhirat itulah di hatimu.Berbahagialah insan -insan yang sebegini!!

Sesungguhnya wang dan harta yang ada di tangan kita itu tidak kekal,ia akan habis.Apa yang kita berikan itulah sebenarnya ‘harta’ kita berbanding yang ada ditangan. Allah berfirman:

Sebenarnya apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. Dan sesungguhnya kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan. (An-Nahl:96)

Mari kita melebih-lebihkan lagi sedekah kita supaya kita menjadi ‘orang kaya’ di akhirat kelak.Kerana orang yang bersedekah dengan ikhlas di dunia itu sebenarnya dia sedang berusaha untuk mengumpul harta dan kesenangan di akhirat kelak,yang kehidupannya kekal abadi sampai bila-bila.Sedangkan keseronokan dan kesenangan di dunia ini hanyalah sementara. Perlulah diketahui juga bahawa setiap benda yang kita infakkan dan belanjakan untuk Allah maka pasti akan diganti semula oleh Allah berdsarkan firman-Nya:

Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya,dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki. (Saba’:39)

Akhir sekali para ibu sekelian,mari bersama kita banyakkan sedekah dan kita didik anak-anak kita agar berjiwa pemurah dan suka membantu orang-orang di sekelilingnya.


Jumaat, 19 Oktober 2012

'Saya mahu jadi juara maa..saya mahu jadi the best!!'

Pernah satu hari Hafizi bertanya pada ummi,ketika itu dia masih di tahun 1.

‘Ummi selalu cerita kat kita pelajar cina kat sekolah ummi yang selalu dapat semua A.Kalau ada pelajar melayu dalam kelas tu,selalunya… mereka yang dapat nombor belakang-belakang kalau periksa.’

‘Ya ..biasanya macam tu le….kenapa?’ Jawab ummi

‘Ummi selalu ingatkan kita orang supaya sembahyang ,mengaji nanti Allah mudahkan kita belajar, jadi cemerlang.Habis tu budak cina tu tak sembahyang pun,tak mengaji pun kenapa boleh jadi pandai??kenapa orang cina tu kaya kaya?’

Ya anakku,itulah salah satu tanda kekuasaan dan keagungan Allah.Satu di antara jutaan bukti yang menunjukkan kepada kita bahawa Allah s.w.t itu bersifat Ar-Rahman.Maha Pemurah kepada semua makhluknya.Tidak kiralah dia itu Islam atau bukan Islam,selagi dia bernama makhluk Allah maka Allah telah menentukan rezeki untuk mereka semua.

Selagi pelajar cina itu berusaha,fokus,tekun,berkorban seluruh masa dan tenaganya untuk menuntut ilmu, tidak pernah kenal erti putus asa,sentiasa target yang terbaik untuk dicapai,maka Allah sebagai tuhan seluruh makhluk di langit dan dibumi tidak akan berlaku zalim terhadap makhluk ciptaanNya.Siapa yang berusaha dia akan dapat.

Namun anak-anakku,sifat Ar Rahman Allah terhadap mereka yang tidak beriman atau kafir itu hanya setakat di dunia sahaja.Kerap kali kita melihat banglo-banglo yang besar dan gah,kereta-kereta mewah yang dipandu di jalanan,gedung dan syarikat besar adalah milik orang bukan Islam.Lihatlah di sekeliling kita apatah lagi di bandar-bandar besar.Harta mereka melimpah ruah.

Jangan sampai anakku terlintas di hatimu; ‘Kalau macam tu tak payah sembahyanglah,tak payah mengajilah macam orang-orang cina tu…’ Kerana anak-anakku kenikmatan dan keseronokkan yang mereka miliki itu hanyalah setakat di dunia sahaja.Bersenang lenanglah mereka di dunia ini dengan segala kekayaan dan kesenangan yang mereka miliki kerana di akhirat kelak mereka tidak akan dapat menikmatinya walau secubit.Allah memberi peluang kepada mereka berseronok sepuasnya di dunia kerana hak mereka untuk bersenang-senang di akhirat kelak akan dinafikan sekeras-kerasnya oleh Allah.Mereka itu keseluruhannya akan dihumban ke dalam neraka selama-lamanya kerana keingkaran mereka untuk beriman kepada Allah s.w.t.Perlukah kamu cemburu wahai anakku?

Yang perlu kamu cemburu dan irihati ialah kejayaan mereka di dalam akademik.Bukan pada kekayaan dan kesenangan mereka.Perhatilah sikap pelajar cina dalam menuntut ilmu.Ummi pernah bertanya kepada pelajar cemerlang di sekolah ummi;

‘ Apakah yang mendorong kamu untuk cemerlang dalam setiap subjek?’

‘Saya mahu jadi juara maa…saya mahu jadi the best…’

Lihat anak-anakku….Ingin jadi yang terbaik.Apabila kita meletakkan pencapaian yang tertinggi dalam setiap target kita,maka kita akan bermotivasi tinggi untuk bergerak kearah itu.Kita akan mengerah tenaga kita untuk mencapai impian tersebut,Kita sanggup untuk berkorban masa dan tenaga kita untuk menggapainya.Kita tidak menoleh ke belakang.Kita terus maju kehadapan.

Anakku,

Pilihan untuk cemerlang atau tidak itu berada di tanganmu.Namun anak-anakku,kebanyakan daripada kita hanya memilih untuk menjadi yang biasa biasa sahaja.Sedangkan dalam masa yang sama kita sebenarnya mampu bergerak lebih jauh lagi.Kita mampu mencapai yang lebih baik lagi.Cumanya… apabila kita telah memilih untuk menjadi yang biasa biasa sahaja maka usaha kita hanyalah biasa-biasa sahaja,pencapaian kita hanya cukup cukup sahaja dan hasil keputusan kita itulah sahaja,tidak ke mana,tidak boleh dibangga.Kerana apa?Kerana kita telah memilih untuk menjadi yang biasa sahaja,cukup sekadarnya…..

Itulah kesilapanmu wahai anak-anak.Silap dalam membuat pilihan.Justeru ,pilihlah untuk menjadi yang cemerlang.Apabila kecemerlangan itu menjadi target kamu,sudah pasti kamu menjadi pelajar yang sentiasa bermotivasi dalam menuntut ilmu demi mencapai impian sucimu itu.Kamu tidak akan mencipta pelbagai alasan,tetapi kamu mencipta langkah-langkah untuk mencapai kecemerlangan.Segala dugaan dan cabaran yang datang tidak akan menjadi halangan.Kamu akan terus mengorak langkah ke hadapan.Mundur tidak sama sekali…..!!

Ayuh anak-anak, pelajar Islam mesti hebat….buktikan!!









Khamis, 18 Oktober 2012

Jadikan rumahmu itu syurgamu !!

Kebersihan itu melambangkan keimanan seseorang.Semua orang cintakan kebersihan dan kekemasan.Lebih-lebih lagi kebersihan di rumah kediaman.Tempat tinggal seluruh ahli keluarga.Sudah pasti kita mengimpikan suasana yang indah,nyaman.bersih,selesa dan bau haruman yang menenangkan.Kalau sedemikian halnya kehidupan seharian pasti bahagia.

Kebersihan sesebuah rumahtangga itu sangat perlu diambil berat oleh seluruh ahli keluarga.Tidak salah untuk saya menyatakan bahawa seorang ibu memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan kebersihan rumahnya.Malah bersih atau tidak bersih sesebuah rumahtangga itu lazimnya dikaitkan dengan keprihatinan ibu terhadap
 kebersihan.

Apabila ibunya itu seorang pembersih maka InsyaAllah seluruh ahli keluarga juga akan mengambil berat tentang kebersihan.Dengan kata lain kebersihan melambangkan keimanan seseorang ibu kerana ibu yang solehah akan sentiasa menunaikan tuntutan agama yang sangat menitikberatkan kebersihan pada badan,pakaian dan tempat.

Antara tips untuk ibu solehah mengemas dan membersih rumah adalah seperti berikut:

1- Selalu ingatkan diri bahawa Allah sukakan kebersihan dan kebersihan itu sangat berkait rapat dengan penerimaan Allah terhadap sesuatu ibadah yang kita lakukan.Ia juga lambang keimanan seseorang.Sehingga dalam bab Fiqh tajuk toharah(Bersuci) diletakkan pada bab permulaan dalam mana-mana kitab sebelum membincangkan persoalan ibadah lainnya.Ini menggambarkan kepada kita bahawa Islam sangat sangat prihatin dengan kebersihan dan kesucian tubuh badan,pakaian dan tempat daripada najis.

2-Peruntukkan masa untuk mengemas dan membersihkan rumah dalam sehari.Wajibkan diri menyapu lantai rumah khususnya ruang tamu,ruang menonton TV dan dapur.Atau ruang yang biasa digunakan oleh anak-anak.Sesekali kena mop jugak lantai tu.Sekurang-kurangnya sekali sehari.

3.Ketika di dapur,setelah selesai sahaja memasak,pekakas memasak yang digunakan terus dikemas dan dibasuh termasuk dapur dan tungku memasak.Lap juga dinding dapur yang berhampiran dengan dapur masak.Pasti ada kekotoran yang tepercik ke dinding. Begitu juga selepas makan,pinggan mangkuk yang kotor terus dicuci,meja makan dilap,sapu dan mop lantai.Usah bertangguh.Biasakan anak-anak yang agak besar untuk membantu ibu mengemas.Ajar mereka cuci gelas dan pinggan sendiri.

4.Cuci tandas sangat mudah.Amalkan seminggu 2 kali.Gunakan cecair peluntur.Ibu tidak perlu menggosok atau menyental lantai dan dinding bilik air.Hanya perlu semburkan cecair peluntur di sekitar mangkuk tandas,lantai dan dinding bilik air.Biarkan lebih kurang 15 minit dan siram dengan air bersih.Ibu akan dapati bilik air dan tandas sangat putih bersih.Letakkah pewangi dalam bilik air

5. Tugas membasuh tidak menjadi masalah.Mesin yang basuh.Namun pastikan apa sahaja najis yan ada pada pakaian dibuang dan cuci terlebih dahulu sebelum memasukkannya bersama-sama dengan pakaian lain dalam mesin basuh.

6.Pakaian yang sudah kering dan diangkat dari jemuran masukkan dalam bakul.Apabila ada sahaja waktu lapang,terus dilipat kain baju tersebut.Usah bertangguh lama-lama, kalau sampai berhari-hari maka menggununglah timbunan kain itu tadi.Keadaan tersebut sangat menyesakkan pandangan mata.Korbankan sedikit waktu rehatmu untuk melangsaikan segala tugasan rumah.

7.Ambil masa di hujung minggu untuk menyusun atur segala barangan di dalam rumah.Buku-buku,apa jenis paper pun simpan di dalam laci/almari/bakul.Buang mana yang tidak perlu.Pastikan rak-rak buku disusun kemas dan teratur.Barang permainan anak-anak disimpan di dalam bakul khas.Ajar anak mengemas barangan selepas digunakan.

8.Elakkan daripada menyangkut tuala lembap,kain,pakaian di kerusi sama ada kerusi di ruang tamu,bilik atau di dapur,pintu bilik,paku-paku di dinding dan sebagainya.Keadaan itu sungguh merimaskan.Kalau baju itu sudah kotor atau digunakan terus masuk ke dalam bakul baju kotor atau mesin basuh .Tuala dan pakaian sidai di ampaian luar rumah.Pakaian yang bersih sepatutnya terlipat kemas di dalam laci atau almari masing-masing.

9.Perkakasan di dapur :

-segala botol sos,kicap,susu,mentega,jem,kaya,telur simpan di dalam peti sejuk.

-Bekas simpan gula,milo,teh,kopi dll,garam ,rempah ratus,tepung,segala bawang dan kentang simpan di dalam almari/kabinet tertutup,atau di atas rak terbuka yang disusun kemas.Seeloknya balang tempat menyimpan bahan-bahan tersebut terdiri dari jenis,warna dan ukuran yang sama besarnya agar ia nampak kemas.

-Sediakan satu rak pinggan yang sederhana untuk menyusun pinggan dan mangkuk yang biasa digunakan,rak untuk teko dan 1 set cawan serta penyangkut mug/gelas juga bekas untuk sudu,garfu ,senduk,sudip, dan pisau.Selebihnya yang jarang digunakan simpan di dalam cabinet tertutup.

-Segala jenis periuk,kuali,besen,penapis,tempat pemotong,lesung simpan di tempat tertutup.

-Tambahkan perhiasan sebagai penyeri dapur seperti gantungan bawang/buah/cili tiruan/pinggan hiasan/frame bergambar dll.Bunga tiruan/hidup juga perlu untuk menceriakan dapur.

-Pastikan table top di kabinet dapur  atau meja makan di dapur tidak disesakkan dengan pelbagai macam barangan .Keadaan itu meneyebabkan suasana dapur berserabut.Apabila semuanya di atur kemas dan diletakkan di tempat yang sepatutnya,suasana dapur menjadi tenang dan selesa dan para ibu akan seronok untuk berada lama di dapur begitu juga suami dan anak-anak.

-Selamat mengemas rumah wahai sahabatku semua.Untuk memiliki kediaman yang bersih,kemas dan selesa sememangnya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.Yang paling penting rumah itu bersih sekalipun tidaklah seluas mana.


Rabu, 17 Oktober 2012

Di sisi anak cemerlang itu, dia punya seorang ibu yang hebat!!

Wahai ibu…Berdoalah untuk kejayaan anakmu


Doa itu senjata orang mukmin.Apatah lagi jika doa itu datangnya dari mulut seorang ibu yang solehah kepada anaknya yang soleh dan solehah.Sungguh !!Allah s.w.t pasti akan peduli dengan doa itu.Para malaikat juga penghuni langit akan turut mengaminkan doa itu.Para ibu sekelian…Berdoa dan teruslah berdoa tanpa henti selagi dirimu masih bernadi….

Sebagai seorang ibu yang solehah pasti sangat prihatin dengan pembentukan peribadi dan kecemerlangan anak-anak dalam akademik .Semua ibu di dunia ini inginkan anak-anak yang mulia pekertinya dan cerdas akalnya.Rata-rata kita merasa sangat berpuas hati dan berbangga andai permata hati kita mampu mendapat markah tertinggi di dalam kelas atau straight A dalam peperiksaan.Itu tidak menjadi kesalahan ,malahan itulah saranan Rasulullah ;jadilah muslim yang terbaik.Jadilah muslim yang cemerlang dunia dan akhirat.Dan saya begitu yakin, di sisi seorang anak yang cemerlang,dia punya seorang ibu yang hebat.

Antara tips untuk menjadi ibu solehah yang diredhaim Allah s.w.t. ini ialah:

Pada waktu malam:

• Sekiranya suami berjemaah di masjid,jadilah imam untuk anak-anak yang berada di rumah

• Bacalah sekurang-kurangnya zikir Subhanallah,walhamdulillah,Allahuakbar dengan suara yang jelas bersama dengan anak-anak

• Setelah itu ibu berdoa dalam bahasa melayu yang difahami anak-anak.Sebutlah nama anak satu persatu di hadapan mereka dengan memohon kebaikan untuk mereka.Anak-anak pasti rasa berbangga dan sangat gembira.

• Sesudah berdoa bersalaman dengan anak-anak.Jangan lupa dakap mereka seikhlasnya, cium pipi dan dahi mereka,dan ajar anak untuk melakukan perkara yang sama kepada ibu.

• Ambil masa 10 minit untuk sesi tazkirah.Ibu boleh menyampaikan kisah-kisah nabi,nasihat,terjemahan hadis atau ayat Al-Quran dan sebagainya.

• Setelah anak selesai solat Maghrib,pastikan mereka baca Al-Quran paling kurang satu muka surat.Jangan lupa ibu juga mesti duduk bersama-sama mendengar bacaan anak.Kesalahan bacaan mereka mesti diperbetulkan.Wajibkan anak-anak membaca Al-Quran terlebih dahulu sebelum membaca buku pelajaran sekalipun waktu peperiksaan.

Ambil berat pelajaran anak-anak.Setiap malam peruntukan masa lebih kurang sejam untuk duduk dengan anak-anak.Anak-anak yang berada di tadika hinggalah tahun 4 sentiasa memerlukan bimbingan ibu.Buatkan jadual untuk mereka.Ulang kembali topik yang telah diajar di sekolah dengan memberikan latihan yang berkaitan dengan tajuk.

• Anak-anak yang berada di tahun 5 dan ke atas biasanya sudah pandai berdikari,namun ibu mesti sentiasa memerhati dan memantau pembelajaran mereka.Pada peringkat ini sentiasalah meniupkan kata-kata semangat dan perangsang agar mereka sentiasa bermotivasi tinggi untuk terus belajar.

Buatkan sendiri air penerang hati untuk mereka.Bacakan air itu dengan doa-doa yang kita inginkan dan surah-surah khusus.Al-Fatihah,selawat,yaasin dan sebagainya atau biasakan apabila ibu membaca Al-quran sediakan sebotol air dan berilah anak-anak minum dengan air tersebut.

• Berusahalah untuk bangun bertahajud di malam hari.Subhanallah!!!sangat hebat ganjarannya untuk mereka yang bangun di tengah malam di saat orang lain lena dibuai mimpi.Apatah lagi seorang ibu yang berdoa untuk kesejahteraan anak-anaknya.Pohonlah padaNya dengan penuh harapan dan iringan air mata.

• Sewaktu anak-anak berada di sekolah,doakan anak-anak agar sentiasa dipermudahkan urusannya di sekolah.Sekalipun mereka tidak berada di depan kita.Doakan sentiasa…

• Sewaktu peperiksaan menjelang tiba,ambil tahu subjek apa yang akan diduduki oleh anak-anak pada hari tersebut beserta masa peperiksaan berjalan.Contohnya subjek Sains jam 8-9 pagi.Dalam tempoh itu sentiasa panjatkan doa agar anak dilapangkan dada,diberikan ketenangan,dipermudahkan untuk faham soalan,dapat membuat pilihan jawapan yang tepat dan diilhamkan jawapan yang bernas dan tepat.Lakukan berulang kali sehinggalah tamat waktu peperiksaan.Bukanlah maksudnya selama satu jam itu ibu hanya duduk berdoa, tidak melakukan apa-apa kerja.Ibu hanya perlu berdoa di dalam hati dan ingat kepada si anak yang sedang menjawab peperiksaan sambil ibu menyiapkan segala urusan kerjanya.Sedekahkan Al-fatihah,selawat,apa sahaja ayat-ayat Al-Quran kepada anak agar dilapangkan hatinya oleh Allah ketika menjawab soalan

• Sesungguhnya,doa seorang ibu yang solehah itu sangat makbul di sisi Allah.Teruskan berdoa untuk kesejahteraan dan kejayaan anak-anakmu di dunia dan akhirat.

Moga saya dan kamu mampu menjadi ibu-ibu yang hebat ini, mendidik zuriat kita menjadi yang soleh dan solehah







Malam itu...Allah mengajar kita erti sabar dan syukur!!

Anakku…Ingatkah lagi kamu pada kisah kita suatu malam dahulu?

Kisah itu masih segar sekalipun sudah lama berlalu.Ummi punya harapan yang sangat tinggi.Ummi ingin melihat Hakimi mampu mendapat A dalam Bahasa Inggeris.Rumah Cikgu Zalina di Taman Sri Bedena kita tuju.Kereta Hyundai ummi pada malam itu dipandu abah ke Tanjung Karang.Sebagai gantinya ummi dengan ditemani Aisyah menghantar Hakimi dengan motosikal.Malam itu malam Rabu.Sungguh banyak kenderaan.Maklumlah ada pasar malam.Berhati-hati ummi memandu.Jauh di sudut hati ummi,ummi berdoa ; ‘Ya Allah selamatkanlah perjalanan aku dan anak-anakku.Izinkan aku menghantar anakku ini untuk menimba ilmu.Jadikan dia anak yang bijak untuk agamaMu ya Allah…’

Sesampai sahaja kita di depan rumah Cikgu Zalina. ‘Gelap je….betul ke ada kelas ni Hakimi?

‘Entahlah mi.Kita pun tak pasti.Tak de orang pun.Mungkin tak de kelas malam ni.’Ummi matikan enjin motor.Beberapa kali ucapan salam kita laungkan namun tiada jawapan. ‘Sah lah ni, tak de kelas malam ni.Tak pe lah…Jom kita balik.’

Sewaktu ummi ‘start’ motor,berkali-kali ummi cuba. ‘Aik…kenapa pulak tak hidup motor ni… ‘Jenuh ummi mencuba, berpuluh kali rasanya.Ya Allah…kita diuji.Nak minta tolong abah,abah kat Tanjung Karang.Tiada cara lain, kitapun terpaksa menyorong motor balik ke Taman Perdana.Tampak jelas kekesalan di wajahmu nak…rasa bersalah, kerana pada anggapanmu itu semua adalah salahmu. ‘Kesian ummi terpaksa sorong motor dengan adik Aisyah atas motor…dahlah berat motor ni…’mungkin itu getus hatimu.

‘Tak pe lah…ummi naik je motor tu,tak pe…biar kita sorong.ummi naik je…’dari kata-katamu itu jelas terpancar keikhlasan di hatimu,tak nak ummi susah dan penat. ‘Tak pe ummi tu ringan je,kita boleh sorong,naiklah….’ Kau ulang lagi kata-katamu bila melihat ummi tidak ambil endah kata-katamu itu.Ummi tetap terus menyorong motor dan kau menolaknya dari belakang.Jauh di sudut hati ibumu ini anakku;Ummi tidak pernah rasa menyesal,ummi tidak pernah rasa dirimu menyusahkan ummi dengan ujian yang sedikit ini. Semua ini Allah yang rancang.Semua ini Allah yang atur.Ada hikmahnya…

Sepanjang perjalanan menyorong motor itu,mulut ini tidak henti memberikan nasihat dan kata-kata perangsang untukmu.Untuk mendaki tangga –tangga kejayaan, dugaan dan cabaran pasti datang bertandang anakku..Usah sekali-kali berputus asa.Teguhkan niat…Tanamkan tekad dalam hatimu untuk mencapai yang terbaik dalam hidupmu.Try your best…

Termengah-mengah kita menyorong motor ditemani lampu jalan yang samar-samar.Ketika keluar dari simpang Taman Bedena,kelihatan sebuah motosikal yang ditunggang oleh sepasang suami isteri menghampiri kita.Si suami ingin menghulurkan bantuan,namun dalam keadaan yang gelap, pada fikiran ummi,tidak mengapalah…nanti menyusahkan orang lain pula.Biar kita terus menyorong motor itu sampai ke rumah.

Pasangan suami isteri yang sangat baik hati itu tetap ingin membantu.Mungkin merasa kasihan dengan seorang perempuan seperti ummi yang bersusah payah menyorong motor bersama dengan anak-anaknya di tengah malam hari.

Si suami memperlahankan motornya menyusul kita di belakang,memerhatikan kiri dan kanan sehinggalah sampai di simpang yang agak sibuk dan motor itu perlu kita sorong untuk menyeberang jalan pula.Lelaki itu dengan murah hatinya memberhentikan motornya lalu bertindak seperti polis trafik berusaha untuk memberhentikan kenderaan yang lalu lalang,agar kita dan motor itu dapat menyeberang jalan dengan selamat.

Subhanallah!! terima kasih pak cik.Ummi sungguh terharu.Di bawah sinaran lampu yang agak terang di tepi jalan itu, ummi dapat melihat wajah sebenar pakcik dan makcik itu…lagi sekali ummi melafazkan Subhanallah!! ummi kenal wajah itu.Cumanya mungkin mereka tidak dapat mengecam ummi memandangkan ummi memakai topi keledar yang ber’cover’ agak gelap menutupi wajah.Dari seberang jalan ummi laungkan terima kasih banyak-banyak pakcik..

Ada genangan air di mata ummi.Sangat terharu….sungguh benar ya Allah Kau Maha Pengasih .Kau Maha Penyayang.Bertambah sudah keyakinan hambaMu ini.Setiap perbuatan baik pasti akan dibalas dengan kebaikan.Setiap pertolongan yang kita berikan dengan ikhlas pasti akan ada ganjaran.

Sebenarnya anakku,pasangan suami isteri itu adalah ayah dan ibu kepada seorang anak murid ummi yang hidupnya agak susah.Pernah anaknya itu mengadu pada ummi kadang-kadang tak de baju nak dipakai sebagai basahan di rumah.Baju sekolahpun tidak berganti.Pergi dan balik sekolah berjalan kaki.Kadang-kadang pergi ke laut juga berjalan kaki dari rumah sampai ke bagan untuk menolong ayah.

Maka dengan rasa penuh keinsafan ummi telah menyedekahkan satu beg besar baju-baju lama kita yang masih elok tersimpan, yang masih lagi boleh dipakai kepada keluarga itu.Ingatkah lagi anakku,kita bersama-sama memunggah baju-baju lama kita dan memilih baju-baju yang masih baik untuk disedekahkan kepada anak murid ummi itu.Dan mereka menerimanya dengan penuh rasa terharu dan terima kasih.Dan pada malam itu lihatlah anakku,Allah telah membalas kebaikan kita itu dengan menghantar pasangan suami isteri itu pula untuk membantu kita ketika kita susah.Subhanallah!! Allah telah mengajar kita erti syukur dan sabar.Allah telah mengajar kita erti kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan.Yakinlah itu anakku…Allah s.w.t itu sangat Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya yang beriman,kepada hamba-hambaNya yang berusaha untuk membuat kebaikan.Syukur kami panjatkan padaMu ya Allah.














Lihatlah kepada pemuda Bangla itu..!!



Hari itu hari Jumaat.Cuaca sangat panas.Walau air-cond kereta terpasang,bahang matahari masih terasa.Ummi toleh pada Hakimi di sebelah.Berkerut dahinya….

Jam di kereta menunjukkan angka 2:21 petang. ‘Ummi,cepat le sikit.Nanti kita masuk sekolah agama lambat.Pengawas catit nama nanti.” Keluh Hakimi menyuarakan rasa tidak puas hatinya. ‘Sabar le….lampu isyarat tengah merah tu.’

Ummi menoleh ke seberang kanan jalan.Subhanallah….ada 4 orang pemuda Bangladesh dengan berkain pelikat dan kopiah di kepala berjalan kaki menyusuri tepi jalan.Ummi terus perhati, tidak jauh dari kumpulan tadi, ada 3orang pemuda, juga Bangladesh sedang melakukan perkara yang sama.Berjalan kaki di bawah panas terik mentari yang membahang.Baju mereka dibasahi peluh.Muka mereka tetap ceria sambil mulut mereka riuh bercerita.Walau rumah kongsi yang dituju masih jauh,mereka terus melangkah,langsung tidak menghiraukan kenderaan yang lalu lalang.

Andai melihat mereka dengan mata kasar,perkara itu biasa saje,mungkin ada yang mengatakannya begini; ‘memang patut pun jalan kaki…..pendatang asing.Tak de kereta.Tak de motor’

Namun kalau direnung dengan mati hati anakku…Subhanallah!! Kuatnya imanmu wahai pemuda.Walau berada di negara orang,walau tidak berkenderaan,walau lelah kepenatan,walau dibakar panas mentari, Solat Jumaat yang menjadi tuntutan fardu ain bagi setiap lelaki yang bergelar muslim tetap ditunaikan.Pergi dan baliknya dari Masjid hanya dengan berjalan kaki!!!

Tergenang air mata ummi.Ummi membayangkan,adakah remajanya kamu nanti,dewasanya kamu nanti kamu punya iman yang begitu wahai anakku? Tetap melangkahkan kakimu ke masjid sekalipun kau punya motor berjenama,atau kereta besar yang cukup selesa.Berbanding dengan orang –orang itu.Ohhhh…terus terusan air mata ummi mengalir, dan ketahuilah anakku Muhammad Irfan Hakimi, nun jauh di sudut hati ibumu ini, ummi panjatkan doa pada ilahi;

‘Ya Allah,aku pohon dan aku merayu padamu,sebagaimana kau teguhkan iman pemuda-pemuda itu ,maka kau teguhkanlah pula iman anakku ini,agar anakku ini nanti membesarnya menjadi pemuda yang hatinya cintakan masjid sebagaimana pemuda-pemuda itu.
Perkenankanlah ya Allah’

‘Ummi…dah hijau lampu tu.Jalanlah….’Sergah Hakimi….

Sambil terus menekan pedal minyak menuju ke Sekolah Rendah Agama Ihya’ Al-Falah sempat ummi bertanya pada Hakimi; ‘Agak-agaknya kalau tak de kenderaan, Hakimi sanggup tak jalan kaki pergi ke masjid macam abang-abang tu tadi walaupun tengah panas?’ Dengan senyuman kakimu melangkah turun dari kereta tanpa memberikan jawapan yang ummi kehendaki. ‘Salam mi.Kita nak cepat ni,nanti nama kita kena catit…’Ummi hanya mampu tersenyum…

Permata Hatiku,selagi nadi ini masih berdenyut.Selagi ummi masih berada di sisi kalian,siang dan malam ummi akan terus berdoa,memohon kehadrat Ilahi agar kalian menjadi hamba Allah yang patuh dan taat,anak-anak yang soleh dan solehah.Ya Allah …perkenankanlah.

Alhamdulillah...syabas untuk anak-anak muda ini...solatnya tetap ditunaikan!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rintihan kami...

"Tuhanku...aku tidak layak masuk syurgamu
tapi aku tak sanggup untuk menanggung seksa nerakamu
dari itu ya Allah kurniakanku taubat
Ampunkan dosaku...
sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.."

Duhai anak-anak...
Rasulullah s.a.w meninggalkan kepada kita dua perkara.Andai kita berpegang kepadanya selama-lamanya kita tidak akan sesat..iaitu
AL-QURAN dan AL-HADIS..

Justeru,marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi pencinta Al-Quran.Kalau buku pelajaran kita boleh baca..kalau surat khabar kita boleh menatapnya berjam-jam lamanya..tv kita boleh tonton semahu kita..inikan pula Al-Quran yang mana bila membacanya satu huruf dibalasNya dengan sepuluh kebajikan..masyaAllah amat besar ganjarannya...

Marilah kita tanamkan azam dan tekad di hati untuk membacanya walau setengah muka setiap malam...mudah-mudahan kelak kita mampu mengkhatamkannya paling kurang sekali dalam setahun dan menghayati isi kandungannya...

Ya Ilahi ...ya Rabbi...jadikan kami hamba-hambaMu yang cintakan kitab suciMu...Moga kami tergolong dalam golongan orang-orang yang Engkau kasihi..Amin...