Isnin, 19 November 2012

Tahniah Kak Long !! Kami Bangga Denganmu...

Alhamdulillah setinggi rasa syukur kami panjatkan pada Allah di atas kejayaan anak buah sulungku dalam UPSR dan PSRA 2012.



NUR ATHIRAH SHAHIDAH BINTI MOHD FADZLI
UPSR = 5A
PSRA= 97%



Kak Long dan Atifah...



TAHNIAH ! TAHNIAH! TAHNIAH!

Kami sudah menjangka itulah keputusan cemerlang yang bakal Kak Long terima setelah melihat pada kesungguhan dan ketekunan Kak Long sepanjang bergelar pelajar Sekolah Rendah.Mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi...

Moga kejayaan Kak Long menjadi pendorong pada adik-adik yang lain juga pada sepupumu yang lain terutamanya Hakimi yang bakal menduduki UPSR dan PSRA  2013.(Sahut cabaran tu ye Hakimi)

Tahniah buat kakakku Along dan Bang Long.Sungguh benar janji Allah- kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Apabila kita didik anak-anak orang lain dengan bersungguh,maka Allah pasti akan memudahkan urusan kita dalam mengasuh dan membentuk kecemerlangan dalam diri permata-permata hati kita pula.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menganugerahkan kejayaan kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sabtu, 17 November 2012

Generasi Terakhir Umat Manusia

Ketika kiamat makin hampir,Nabi Isa a.s yang akan turun kembali ke bumi dan orang yang beriman merupakan umat Islam yang terakhir.Setelah Allah mengutus hembusan angin lembut yang menyebabkan mereka semua meninggal dunia,maka pupuslah generasi tauhid di muka bumi ini.Islam,Al-Quran dan akhlak mulia turut hilang bersama-sama pemergian mereka.Hanya orang kafir dan tidak beriman yang berbaki di muka bumi ini.Sebahagian daripada keadaan mereka adalah seperti berikut:


1-Tidak kenal Allah

Mereka tidak kenal Allah,bahkan tidak pernah menyebut namaNya dalam hidup.

Dari Anas r.a,maksud sabda Rasulullah s.a.w “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak ada lagi orang yang mengucapkan: ‘Allah,Allah.’(Riwayat Muslim)



2-Kaabah runtuh

Kali terakhir kota suci Mekah dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah adalah pada masa Nabi Isa a.s kembali ke bumi.Setelah mereka semua meninggal dunia,Kota Mekah sunyi tanpa pengunjung.Sepanjang puluhan tahun ,tiada sesiapapun yang datang untuk berziarah apatah lagi untuk beribadah.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w: ‘Tidak akan terjadi kiamat sehingga tidak ada seorang pun yang pergi menunaikan haji ke baitullah.’ (Riwayat Ibnu Hibban)

Keadaan bertambah parah apabila sekumpulan orang dari Habsyah(Ethiopia) datang ke Mekah lalu meruntuhkan kaabah.Mereka mencungkil satu persatu batu-batu binaan rumah Allah ini untuk mencari harta karun yang dipercayai tertimbun di bawahnya.



3-Kota Madinah tiada penghuni.

Madinah pada masa itu tidak lebih daripada sebuah kota ‘berhantu’.Tiada makhluk yang berada di sana melainkan haiwan buas dan burung liar.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w : ‘Seorang pengendera nanti akan melalui pinggir Kota Madinah dan dia berkata : ‘Tempat ini dahulunya dipenuhi ramai kaum mukminin.’(Riwayat Ahmad)



4– Seperti Keldai

Dek menjadi hamba nafsu,mereka bukan seperti manu sia,malah lebih buruk dari haiwan.Zina,homoseksual dan seks sumbang berlaku saban hari tidak kira masa dan tempat.

“Tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia berzina di tengah-tengah jalan seperti keldai.”(Riwayat Ibnu Hibban)

Apabila maksiat telah memenuhi seluruh pelosok dunia,Allah menjadi semakin murka kepada seluruh makhluk yang berada di muka bumi,maka pada waktu itulah kiamat berlaku.Moga Allah menjauhkan kita daripada kemurkaan dan azabNya.Amin....



Uwais Al-Qarni : Namamu Tersohor Di Langit Sana


Dia seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang,kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya.Hidup sezaman dengan Rasulullah tetapi mereka tidak pernah bersua muka kerana Uwais tinggal di Yaman.Kerap membaca al-Quran dan selalu menangis tatkala membacanya.Pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut.Satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakan sebagai selendang.


Siapalah dia di mata manusia.Tidak banyak yang mengenalinya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara yang mentertawa dan mempermainkannya.Ada yang menuduhnya sebagai pencuri.Manusia mengumpat dan mencelanya kerana kemiskinannya.Uwais telah lama yatim, tiada sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh.

 
Sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Jika ada wang lebih, Uwais gunakan bagi membantu jirannya yang juga hidup miskin sepertinya.Uwais al-Qarni peluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mengurangkan ibadahnya walau sedikit. Dia tetap berpuasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.

 
Ramai tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru pulang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengannya. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Apatah lagi ibunya sakit dan perlu dirawat.


Hari berganti hari, dan kerinduannya untuk bertemu Nabi tidak terbendung. Pada suatu hari Uwais meluahkan juga isi hatinya kepada ibunya dan memohon izin untuk menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.Si ibu dengan rasa terharu meredhai pemergian Uwais dan berpesan agar segera pulang.Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar menemani ibunya selama mana dia pergi.


Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang 400km dari Yaman.Medan yang begitu panas diharunginya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam mahupun padang pasir yang luas yang boleh menyesatkan. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.Namun setibanya Uwais al-Qarni di depan rumah Nabi, 'Aisyah R.A memaklumkan bahawa Nabi berada di medan perang.Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kepulangan Nabi S.A.W dari medan perang.Namun masih terngiang di telinga pesan ibunya agar cepat pulang ke Yaman.Atas ketaatan kepada ibunya, Dia akhirnya pulang dengan hati yang pilu setelah menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W


Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W terus menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Baginda menjelaskan bahawa Uwais adalah anak yang taat kepada ibunya.Walau tidak dikenali di dunia,namanya sangat terkenal di kalangan penghuni di langit sana .Mendengar perkataan baginda S.A.W, 'Aisyah R.A dan para sahabat terpegun.Menurut 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan pemuda itu telah segera pulang ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit.

 
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."



Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."


Setelah wafat Nabi S.A.W, suatu ketika khalifah Umar dan Ali K.W. teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni. Sejak itu, setiap kafilah yang datang dari Yaman, mereka selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni sehingga lah satu ketika akhirnya mereka dipertemukan,bilamana Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.Pada ketika itu ibunya telahpun wafat.Kesempatan itu diambil oleh Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka sebagaimana pesan Nabi S.A.W.Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,

 
"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripadamu".

Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, segera sahaja Uwais menolak dengan halus dan berkata,"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."


Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada ramai orang yang menunggu untuk mengkafankannya.Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada ramai orang yang menggali kuburnya hingga selesai.


Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya.Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang sewaktu hayatnya.Mereka saling bertanya-tanya;


"Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."

Mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahui siapa sebenarnya Uwais al-Qarni.

"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di kalangan penduduk bumi tetapi namanya sangat tersohor di langit sana."


Sebuah kisah untuk dihayati bersama.Pastikan kebaikan yang dilakukan bukan untuk mengejar nama, pangkat atau sanjungan manusia.Biar manusia tidak mengenalmu,namun keikhlasanmu membuat kebaikan memungkinkan dirimu tetap dipuji dan dimuliakan di kalangan penghuni di langit sana.Dan berbaktilah kepada ayah dan ibumu sementara mereka itu masih ada di sisi kita.





7 Golongan Yang Mulia Di Mahsyar

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu:

1~Imam (pemimpin) yang adil
 
2~ Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah

3~Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid

4~Dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah

5~Seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah"

6~Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya

7~Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

            Merenung dalam diri,adakah aku ini mampu tergolong dalam golongan di atas?Andai tidak,ini bermakna aku adalah salah seorang dari jutaan manusia yang akan menanggung azab sengsara dijemur di bawah terik mentari lalu tenggelam di dalam lautan peluh hanyir dan busuk di bumi mahsyar kelak.

                Bagaimana mungkin diriku yang malas solat,enggan puasa,berpakaian sendat ikut suka,melawan ayahbonda,melepak tak tentu hala,berkepit dengan pakwe makwe,menonton yg lucah-lucah  belaka,leka dengan hiburan dunia,Al-Quran memang aku dah lupa,jarang kusebut namaNYA,apatah lagi sujud padaNYA boleh diizinkan untuk bernaung di bawah arasyNYA?? Sudah Tentu jawapannya –Wahai manusia yang hina dirimu langsung tidak layak untuk berada di bawah  naunganNYA-

                Adakah dirimu rela diseksa?Andai jawapanmu tidak...ayuh mari kita ubah haluan.Kita  ibarat pemandu yang sedang memandu kereta kehidupan kita sendiri. ‘Stereng’ ditanganmu, ‘brek’ dan ‘pedal minyak’ di kakimu.Andai di depan sudah kau tahu ada gaung yang sangat dalam,waraskah untuk kau terus memecut lantas menjunam ke dalam.

Sepantas kilat, tekanlah ‘brek’ tukar haluan.Pohon taubat padaNYA.Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan nasib kita pada kehidupan kali kedua.Syurga atau nerakakah pilihanmu?

Mereka yang waras pasti akan berkata“Syurga pilihanku.Apa lagi yang kutunggu.Sementara nyawa masih ada padaku,aku sujud pohon ampunanMU.”
 

Dosa; Usah Dipandang Remeh Kerana Ia Amat Besar Di Sisi Allah Dan RasulNya

‘Kelihatan di atas pentas si dara yang bertudung , si teruna yang bertanjak begitu asyik mempersembahkan tariannya.Penonton bersorak gembira,tidak kira tua atau muda.Mereka sangat berbangga dengan kebolehan rakan-rakan mereka.’

                Muslimin dan muslimat yang dihormati,ayuh kita renungkan sebentar.Andai Rasulullah s.a.w  berada bersama dengan kita di waktu itu adakah baginda rasa cukup berbangga dengan kita?Adakah baginda bertepuk tangan dengan tarian yang dipersembahkan sebagaimana kita bertepuk tangan?

                Mari kita fikirkan…sudah pasti jawapannya sangat jelas~ TIDAK sama sekali~Itu bukan dari  ajaran baginda.Selama 23 tahun dakwah baginda,baginda telah berusaha sedaya upaya  mengangkat darjat wanita itu ke tahap yang sangat mulia.Dirimu wanita bukan untuk dipersembahkan,bukan untuk ditonton dan bukan untuk dinikmati oleh mata-mata yang tidak berhak sebagaimana kebiasaan masyarakat Arab jahiliah sebelumnya.Maka  sudah pasti baginda langsung tidak berbangga dengannya. Astaghfirullah…alangkah lalainya  kita.

                Secebis kisah yang mungkin dianggap remeh oleh sebahagian  daripada kita tetapi tidak di sisi Allah dan rasul-Nya.Persoalan dosa dan pahala mesti difikirkan bermula dari celik mata hingga kita terpejam semula di malam harinya.Kerana apa?Kerana Allah telah berjanji akan menghitung setiap perbuatan kita di dunia sama ada baik atau buruk walaupun sebesar zarah. Maka setiap tindakan kita pasti akan berkisar kepada 2 perkara ini –dosa atau pahala.

                 Justeru WAJIB untuk kita perhatikan apa yang dilihat,ditonton,didengar,disentuh,dibaca,dipakai,dibelanja,kerana  semuanya itu akan diperhati dan dicatat.Dan pencatatnya pula tidak pernah terleka atau terlena walau sesaat sebagaimana kita yang kerapnya terlalai dan ter ‘pandang  remeh’ pada banyak perkara.Dan di akhirat kelak catatan itu akan dipulangkan semula kepada tuan empunyanya  sama ada  sudi atau tidak sudi menerimanya.

                Dan bermulalah detik-detik yang menggerunkan kita semua.Perhitungan demi perhitungan yang sangat teliti di hadapan Allah Rabbul Jalil.Tidak terkecuali walau seorangpun.Akan dapat kita saksikan kelak,  si mukmin tersenyum puas dengan gunungan pahalanya dan  si fasik menggeletar dengan pikulan dosanya.

Ayuh kita renungkan sebentar.. sebahagian daripada kisah yang panjang di padang mahsyar daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abbas r.a ;………. Nabi Muhammad S.A.W menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?” Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad S.A.W!” Nabi Muhammad S.A.W bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!” Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis. Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Nabi Muhammad S.A.W?” Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”

                Allah  berfirman: “Wahai Jibril! katakanlah kepada kekasihku, Muhammad bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanku.” Jibril  kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah.” Nabi Muhammad S.A.W berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah.” Allah berfirman: “Hari ini, kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu

Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad S.A.W menyeru: “Tuhanku…Penguasaku Penghuluku…! Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!”


                Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru:  “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?” Neraka  berseru lagi :  “Wahai Tuhanku…Penguasaku dan Penghuluku!Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”

                Nabi Muhammad S.A.W lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda S.A.W sujud di hadapan Arsy Allah S.W.T dan sekali lagi, baginda S.A.W rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya. Para Nabi melihat keluh dan tangisan Muhammad S.A.W. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan oleh Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya……..

                Saudaraku..Lihatlah,betapa sayang dan cintanya Rasulullah kepada kita.Tepuk dada dan tanya  iman di hati, sejauh mana pula  kasih dan cinta kita kepada Rasulullah.Sejauh mana kita berawas dalam setiap perkara agar tidak terjerumus ke kancah dosa yang telah diberi amaran keras oleh Allah dan rasulNya.

                Dan tanyakan pula diri, adakah layak untuk aku mendapat syafaat Rasulullah  andai di dunia tidak ku hirau ajaran baginda.Solat yang kubuat selalunya sambil lewa,tak kutahupun maksud bacaannya.Mulut sering berbicara hal keaiban manusia.Duit kubelanja ikut suka sedangkan untuk bersedekah RM 10 sangat berkira.Al-Quran jarang-jarang kubaca namun ber ‘facebook’ boleh berjam-jam lamanya.Hiburan  di kaca TV sering jadi pilihan namun rancangan agama selalu dikesampingkan.Pakaian yang kubeli biar mengancam,agar aku digelar si jelitawan tetapi bukan yang labuh lagi merimaskan.Kuku kubela biar panjang,kening kucukur biar rupawan,makwe kukepit  penuh kebanggaan sekalipun Rasulullah tidak pernah  menghalalkan…Banggakah Rasulullah denganmu?

                Renung-renungkanlah, adakah perlakuan kita itu sudah cukup memenuhi piawaian Rasulullah agar kita dianugerahkan syafaat  baginda di akhirat kelak?Sudah tentu saudaraku,syafaat baginda hanya milik umatnya yang benar-benar mencintainya dengan mematuhi segala ajaran baginda S.A.W ketika di dunia.Moga kita tidak digolongkan dari kalangan yang digambarkan oleh Allah sebagaimana berikut;

Maksud Firman Allah  “Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata:Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia),kami akan mengerjakan amal soleh , sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.(Surah As-Sajadah:12)

                Lumrahnya kehidupan manusia, di saat dia merasakan dirinya hebat, kuat, dia merasakan dirinya tidak memerlukan Allah. Lalu dia sombong, bongkak dan takabbur kepada Allah. Dia lupa Allah. Dia merasa mulia dengan dosa dan maksiat  yang dihimpunkan . Dahinya mendongak ke atas, tidak mampu dan tidak mahu rapat ke bumi dan sujud kepada Sang Pemilik Alam Raya ini; Allah SWT. Dia lupa bahawa, satu saat nanti, dahi dan kepalanya yang sombong itu akan menunduk jua tatkala berada di Padang Mashyar. Akan menunduk jua hatinya kelak, dengan perasaan malu, takut, dan mengharap kepada Allah, lalu dia akan mengemis kepada Allah SWT agar diberikan peluang kembali pada dirinya untuk sujud dan beribadah kepada Allah dan dia berjanji tidak akan melakukan dosa demi dosa lagi. Dia akan merintih, merayu, mengemis, meraung dan terus meraung….

                Namun di saat itu adakah yang sudi mendengar rayuannya?Adakah yang simpati pada raungannya??Renungkan,ayuh kita ubah haluan.Dosa  usah kita remehkan.Taubat mesti kita usahakan.

Al-Quran Kalamullah


Tiada kitab setandingnya, sekalipun seluruh penduduk bumi bersatu untuk menyaingi kehebatannya.Bayangkan...sang kekasihpun tidak mampu mengingat setiap baris ayat-ayat cinta kekasihnya,namun tidak untuk Al-Quran.Penghafaznya mampu mengingat setiap kalimah yang tertera tanpa meninggalkan walau satu hurufpun bermula dari surah Al-Fatihah hinggalah ayat terakhir surah An-Nas

30 Juzuk=114 surah=6666 ayat

                 Subhanallah!! Kalam Allah ada dalam dada.Berbahagialah para pencinta Al-Quran.Ayuh muhasabah diri.Sedalam mana Al-Quran di hati kita.Sedalam  itulah  ingatan & cinta kita pada Allah SWT.

Andai keinginan pada Al-Quran tiada,dibimbangi cinta padaNYA juga tiada,kerana Al-Quran itu ayat-ayat cinta dari Pencipta buat kekasihnya. Hanya yang mencintaiNYA tidak akan jemu menatap setiap huruf yang tertera.

Rugilah bagi mereka yang memandang sepi dan meletakkan Al-Quran di tepi,kerana Al-Quran tidak akan membantunya.Ia  hanya akan  memberi syafaat  kepada pembaca dan pencintanya pada hari yang menggerunkan,hari yang menentukan bahagia atau deritanya kita di Mahkamah Allah Rabbuljalil.PADANG MAHSYAR ~tempat perhimpunan agung seluruh umat manusia yang pernah diberikan nyawa sejak zaman Nabi Adam hingga Hari Kiamat.Ayuh sahabat,kita masih punya masa untuk belajar mencintainya!!

Bicara Hati Seorang Guru Buat Anak Didik Yang Dikasihi

Anak-anak didikku,

Bicara tanpa suara ini lahir dari hati
bukan kupinta untuk dihargai
tetapi agar kau mengerti
erti dan makna hidup ini...

Semalam kulihat dirimu masih begitu.Melangkah malas ke kelas.Tanpa pena untuk mencatat.Tanpa buku untuk kau titip kata azimat.Saban hari,ilmu yang dicurah,tak ingin kau tadah.Biar penat gurumu bersyarah,tidak sedikitpun kau endah.Adakalanya dengan berat hati kau mula mencatat,itupun setelah dimarah dan diarah.Apa yang ditulis,sedikitpun tidak menjadi kudis.Buku teks  percuma hanya diperap di rumah, berat katamu untuk digalas ke sekolah.Keputusan ujianmu mahupun peperiksaan tiada yang membanggakan.Kegagalan demi kegagalan tidak sedikitpun kau hiraukan, meskipun ianya cukup mengecewakan hati si ayah dan ibu yang menaruh harapan.

Anak-anak didikku,

Hari ini kulihat dirimu masih begitu.Datang ke sekolah hanya untuk bertemu rakan dan taulan,lelaki dan perempuan,untuk keseronokan,menayang muka dan badan, kalau-kalau ada yang berkenan. Matlamat untuk belajar semakin jauh kau tinggalkan.

Anak-anak didikku,

Gurumu ini mahu bertanya.
Adakah esok kau masih ingin begitu?
Adakah lusa juga kau masih ingin berada di takuk itu?
Tidak terfikirkah olehmu bahawa sikapmu itu bakal memusnahkan masa depanmu

Ayuh anak didikku..

Kita telusuri kisah insan  berhati waja,bercita-cita mulia menjadi ilmuwan ternama.Imam Syafie tersohor namanya.Walau dihimpit kemiskinan,walau tak punya kemampuan untuk membeli buku catatan,tong sampah di jabatan kerajaan menjadi tumpuan,dibelek satu persatu kertas terbuang,kalau-kalau masih ada yang boleh digunakan, buat mencatat ilmu para agamawan. Biar cemuhan bertandang,biar dengan seribu kepayahan,menuntut ilmu tetap diteruskan.Hasilnya sehingga kini buah fikirannya menjadi ikutan juga rujukan sepanjang zaman!!

Anak-anakku, bagaimana dengan dirimu?

Kau punya puluhan buku rujukan,kalau bukan di rumah ada di serata perpustakaan.Juga banyaknya buku catatan,apatah lagi helaian-helaian kertas yang kadangkalanya hanya kau tong sampahkan.Punya sekolah yang cukup segala kelengkapan.Punya guru yang sentiasa memberikan bimbingan.Banyaknya program yang telah dirancang dan dilaksanakan.Tinggal lagi kamu itu, sudahkah kau berikan sepenuh perhatian,kemahuan serta kesungguhan?

Anak-anak didikku,

Sungguh bertuah dirimu,lahir dan membesar di bumi penuh kedamaian.Tiada sengketa,rusuhan, apalagi peperangan.Peluang menuntut ilmu  terbuka luas.

Mari cuba kau renungkan....

Anak-anak berwajah tulus  suci di bumi Palestin.Ilmu tetap ditimba walau dicelah runtuhan bangunan,berbumbungkan langit berlantaikan tanah, walau diacu senjata pemusnah,setiap saat buminya bermandi darah, untuk berundur tidak akan pernah,malah bangkit mempertahankan maruah.
Anak-anak didikku,

Sedarlah!! Sedarlah!! Sedarlah!!
Kau pewaris generasi ummah.
Ingatlah! hidup ini tidak lama.
Hidup ini bukan untuk selamanya.
Esok,lusa kau akan dipanggil jua menghadap DIA yang Maha Berkuasa .
Segala apa yang kau lakukan di dunia
pasti akan ditanya.

Anak-anak didikku,

Bangunlah!!
bangkitlah!!
Gurumu ini sangat  berharap
esok sikapmu itu akan berubah.                                                                                                                          
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rintihan kami...

"Tuhanku...aku tidak layak masuk syurgamu
tapi aku tak sanggup untuk menanggung seksa nerakamu
dari itu ya Allah kurniakanku taubat
Ampunkan dosaku...
sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.."

Duhai anak-anak...
Rasulullah s.a.w meninggalkan kepada kita dua perkara.Andai kita berpegang kepadanya selama-lamanya kita tidak akan sesat..iaitu
AL-QURAN dan AL-HADIS..

Justeru,marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi pencinta Al-Quran.Kalau buku pelajaran kita boleh baca..kalau surat khabar kita boleh menatapnya berjam-jam lamanya..tv kita boleh tonton semahu kita..inikan pula Al-Quran yang mana bila membacanya satu huruf dibalasNya dengan sepuluh kebajikan..masyaAllah amat besar ganjarannya...

Marilah kita tanamkan azam dan tekad di hati untuk membacanya walau setengah muka setiap malam...mudah-mudahan kelak kita mampu mengkhatamkannya paling kurang sekali dalam setahun dan menghayati isi kandungannya...

Ya Ilahi ...ya Rabbi...jadikan kami hamba-hambaMu yang cintakan kitab suciMu...Moga kami tergolong dalam golongan orang-orang yang Engkau kasihi..Amin...