Anak-anak didikku,
Bicara tanpa suara ini lahir dari hati
bukan kupinta untuk dihargai
tetapi agar kau mengerti
erti dan makna hidup ini...
Semalam kulihat dirimu masih begitu.Melangkah malas ke kelas.Tanpa pena untuk mencatat.Tanpa buku untuk kau titip kata azimat.Saban hari,ilmu yang dicurah,tak ingin kau tadah.Biar penat gurumu bersyarah,tidak sedikitpun kau endah.Adakalanya dengan berat hati kau mula mencatat,itupun setelah dimarah dan diarah.Apa yang ditulis,sedikitpun tidak menjadi kudis.Buku teks percuma hanya diperap di rumah, berat katamu untuk digalas ke sekolah.Keputusan ujianmu mahupun peperiksaan tiada yang membanggakan.Kegagalan demi kegagalan tidak sedikitpun kau hiraukan, meskipun ianya cukup mengecewakan hati si ayah dan ibu yang menaruh harapan.
Anak-anak didikku,
Hari ini kulihat dirimu masih begitu.Datang ke sekolah hanya untuk bertemu rakan dan taulan,lelaki dan perempuan,untuk keseronokan,menayang muka dan badan, kalau-kalau ada yang berkenan. Matlamat untuk belajar semakin jauh kau tinggalkan.
Anak-anak didikku,
Gurumu ini mahu bertanya.
Adakah esok kau masih ingin begitu?
Adakah lusa juga kau masih ingin berada di takuk itu?
Tidak terfikirkah olehmu bahawa sikapmu itu bakal memusnahkan masa depanmu
Ayuh anak didikku..
Kita telusuri kisah insan berhati waja,bercita-cita mulia menjadi ilmuwan ternama.Imam Syafie tersohor namanya.Walau dihimpit kemiskinan,walau tak punya kemampuan untuk membeli buku catatan,tong sampah di jabatan kerajaan menjadi tumpuan,dibelek satu persatu kertas terbuang,kalau-kalau masih ada yang boleh digunakan, buat mencatat ilmu para agamawan. Biar cemuhan bertandang,biar dengan seribu kepayahan,menuntut ilmu tetap diteruskan.Hasilnya sehingga kini buah fikirannya menjadi ikutan juga rujukan sepanjang zaman!!
Anak-anakku, bagaimana dengan dirimu?
Kau punya puluhan buku rujukan,kalau bukan di rumah ada di serata perpustakaan.Juga banyaknya buku catatan,apatah lagi helaian-helaian kertas yang kadangkalanya hanya kau tong sampahkan.Punya sekolah yang cukup segala kelengkapan.Punya guru yang sentiasa memberikan bimbingan.Banyaknya program yang telah dirancang dan dilaksanakan.Tinggal lagi kamu itu, sudahkah kau berikan sepenuh perhatian,kemahuan serta kesungguhan?
Anak-anak didikku,
Sungguh bertuah dirimu,lahir dan membesar di bumi penuh kedamaian.Tiada sengketa,rusuhan, apalagi peperangan.Peluang menuntut ilmu terbuka luas.
Mari cuba kau renungkan....
Anak-anak berwajah tulus suci di bumi Palestin.Ilmu tetap ditimba walau dicelah runtuhan bangunan,berbumbungkan langit berlantaikan tanah, walau diacu senjata pemusnah,setiap saat buminya bermandi darah, untuk berundur tidak akan pernah,malah bangkit mempertahankan maruah.
Anak-anak didikku,
Sedarlah!! Sedarlah!! Sedarlah!!
Kau pewaris generasi ummah.
Ingatlah! hidup ini tidak lama.Hidup ini bukan untuk selamanya.
Esok,lusa kau akan dipanggil jua menghadap DIA yang Maha Berkuasa .
Segala apa yang kau lakukan di dunia
pasti akan ditanya.
Anak-anak didikku,
Bangunlah!!
bangkitlah!!
Gurumu ini sangat berharap
esok sikapmu itu akan berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan