‘Kelihatan di atas pentas si dara yang bertudung , si teruna yang bertanjak begitu asyik mempersembahkan tariannya.Penonton bersorak gembira,tidak kira tua atau muda.Mereka sangat berbangga dengan kebolehan rakan-rakan mereka.’
Muslimin dan muslimat yang dihormati,ayuh kita renungkan sebentar.Andai Rasulullah s.a.w berada bersama dengan kita di waktu itu adakah baginda rasa cukup berbangga dengan kita?Adakah baginda bertepuk tangan dengan tarian yang dipersembahkan sebagaimana kita bertepuk tangan?
Mari kita fikirkan…sudah pasti jawapannya sangat jelas~ TIDAK sama sekali~Itu bukan dari ajaran baginda.Selama 23 tahun dakwah baginda,baginda telah berusaha sedaya upaya mengangkat darjat wanita itu ke tahap yang sangat mulia.Dirimu wanita bukan untuk dipersembahkan,bukan untuk ditonton dan bukan untuk dinikmati oleh mata-mata yang tidak berhak sebagaimana kebiasaan masyarakat Arab jahiliah sebelumnya.Maka sudah pasti baginda langsung tidak berbangga dengannya. Astaghfirullah…alangkah lalainya kita.
Secebis kisah yang mungkin dianggap remeh oleh sebahagian daripada kita tetapi tidak di sisi Allah dan rasul-Nya.Persoalan dosa dan pahala mesti difikirkan bermula dari celik mata hingga kita terpejam semula di malam harinya.Kerana apa?Kerana Allah telah berjanji akan menghitung setiap perbuatan kita di dunia sama ada baik atau buruk walaupun sebesar zarah. Maka setiap tindakan kita pasti akan berkisar kepada 2 perkara ini –dosa atau pahala.
Justeru WAJIB untuk kita perhatikan apa yang dilihat,ditonton,didengar,disentuh,dibaca,dipakai,dibelanja,kerana semuanya itu akan diperhati dan dicatat.Dan pencatatnya pula tidak pernah terleka atau terlena walau sesaat sebagaimana kita yang kerapnya terlalai dan ter ‘pandang remeh’ pada banyak perkara.Dan di akhirat kelak catatan itu akan dipulangkan semula kepada tuan empunyanya sama ada sudi atau tidak sudi menerimanya.
Dan bermulalah detik-detik yang menggerunkan kita semua.Perhitungan demi perhitungan yang sangat teliti di hadapan Allah Rabbul Jalil.Tidak terkecuali walau seorangpun.Akan dapat kita saksikan kelak, si mukmin tersenyum puas dengan gunungan pahalanya dan si fasik menggeletar dengan pikulan dosanya.
Ayuh kita renungkan sebentar.. sebahagian daripada kisah yang panjang di padang mahsyar daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abbas r.a ;………. Nabi Muhammad S.A.W menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?” Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad S.A.W!” Nabi Muhammad S.A.W bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!” Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis. Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Nabi Muhammad S.A.W?” Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”
Allah berfirman: “Wahai Jibril! katakanlah kepada kekasihku, Muhammad bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanku.” Jibril kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah.” Nabi Muhammad S.A.W berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah.” Allah berfirman: “Hari ini, kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu
Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad S.A.W menyeru: “Tuhanku…Penguasaku Penghuluku…! Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!”
Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?” Neraka berseru lagi : “Wahai Tuhanku…Penguasaku dan Penghuluku!Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”
Nabi Muhammad S.A.W lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda S.A.W sujud di hadapan Arsy Allah S.W.T dan sekali lagi, baginda S.A.W rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya. Para Nabi melihat keluh dan tangisan Muhammad S.A.W. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan oleh Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya……..
Saudaraku..Lihatlah,betapa sayang dan cintanya Rasulullah kepada kita.Tepuk dada dan tanya iman di hati, sejauh mana pula kasih dan cinta kita kepada Rasulullah.Sejauh mana kita berawas dalam setiap perkara agar tidak terjerumus ke kancah dosa yang telah diberi amaran keras oleh Allah dan rasulNya.
Dan tanyakan pula diri, adakah layak untuk aku mendapat syafaat Rasulullah andai di dunia tidak ku hirau ajaran baginda.Solat yang kubuat selalunya sambil lewa,tak kutahupun maksud bacaannya.Mulut sering berbicara hal keaiban manusia.Duit kubelanja ikut suka sedangkan untuk bersedekah RM 10 sangat berkira.Al-Quran jarang-jarang kubaca namun ber ‘facebook’ boleh berjam-jam lamanya.Hiburan di kaca TV sering jadi pilihan namun rancangan agama selalu dikesampingkan.Pakaian yang kubeli biar mengancam,agar aku digelar si jelitawan tetapi bukan yang labuh lagi merimaskan.Kuku kubela biar panjang,kening kucukur biar rupawan,makwe kukepit penuh kebanggaan sekalipun Rasulullah tidak pernah menghalalkan…Banggakah Rasulullah denganmu?
Renung-renungkanlah, adakah perlakuan kita itu sudah cukup memenuhi piawaian Rasulullah agar kita dianugerahkan syafaat baginda di akhirat kelak?Sudah tentu saudaraku,syafaat baginda hanya milik umatnya yang benar-benar mencintainya dengan mematuhi segala ajaran baginda S.A.W ketika di dunia.Moga kita tidak digolongkan dari kalangan yang digambarkan oleh Allah sebagaimana berikut;
Maksud Firman Allah “Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata:Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia),kami akan mengerjakan amal soleh , sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.(Surah As-Sajadah:12)
Lumrahnya kehidupan manusia, di saat dia merasakan dirinya hebat, kuat, dia merasakan dirinya tidak memerlukan Allah. Lalu dia sombong, bongkak dan takabbur kepada Allah. Dia lupa Allah. Dia merasa mulia dengan dosa dan maksiat yang dihimpunkan . Dahinya mendongak ke atas, tidak mampu dan tidak mahu rapat ke bumi dan sujud kepada Sang Pemilik Alam Raya ini; Allah SWT. Dia lupa bahawa, satu saat nanti, dahi dan kepalanya yang sombong itu akan menunduk jua tatkala berada di Padang Mashyar. Akan menunduk jua hatinya kelak, dengan perasaan malu, takut, dan mengharap kepada Allah, lalu dia akan mengemis kepada Allah SWT agar diberikan peluang kembali pada dirinya untuk sujud dan beribadah kepada Allah dan dia berjanji tidak akan melakukan dosa demi dosa lagi. Dia akan merintih, merayu, mengemis, meraung dan terus meraung….
Namun di saat itu adakah yang sudi mendengar rayuannya?Adakah yang simpati pada raungannya??Renungkan,ayuh kita ubah haluan.Dosa usah kita remehkan.Taubat mesti kita usahakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan